Hanya tiga hari selepas penstrukturan semula sistem kejurulatihan pasukan senior, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Norza Zakaria mengumumkan satu lagi rombakan kejurulatihan, kali ini membabitkan skuad remaja.

Skuad remaja badminton kebangsaan kini sedang menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di bawah kendalian ketua jurulatih Datuk Dr Misbun Sidek sebagai Pengarah Pembangunan Belia.

Bekas jurulatih perseorangan kebangsaan Hazwan Jamaluddin dan Poh Chai Boon telah ditugaskan mengendali pasukan bawah 18 manakala pemain beregu akan dikendalikan oleh tiga pakar beregu - Pang Cheh Chang, Vountus Indra Mawan dan Lutfi Zaim.

Bekas juara All England Hafiz Hashim bersama Alvin Chew pula ditugaskan melatih pemain lelaki bawah 15 tahun.

Kwan Yoke Meng, bekas pemenang dalam skuad Piala Thomas 1992, akan diberi portfolio baharu bagi mengetuai bahagian pembangunan perempuan bawah 13 tahun, manakala jurulatih berpengalaman Zhang Hong Yu akan mengawal selia bahagian pemain perempuan bawah 15 dan bawah 14 tahun.

Mohamad Norza yakin jurulatih di bawah bimbingan Misbun akan mampu menanamkan disiplin tinggi dan budaya inginkan kemenangan dalam kalangan pemain pada usia sangat muda serta membantu peralihan mereka ke pasukan senior kebangsaan.

"Semua jurulatih secara kolektif telah menunjukkan kemajuan menerusi ranking pembangunan BAM manakala Hong Yu telah menghabiskan masa dua dekad sebagai jurulatih pemain remaja di Malaysia. Mereka tahu sistem kita dengan baik dan ingin memberikan ilmu mereka kepada pemain muda.

"Pembangunan jangka panjang berterusan terhadap pemain junior kebangsaan tetap menjadi keutamaan kerana kami ingin mencungkil bakat generasi pemain seterusnya. Kami akan terus menyediakan persekitaran optimal untuk membantu perkembangan kesemua 77 pemain muda di ABM," katanya dalam kenyataan.

-- BERNAMA