Harapan untuk menambah koleksi pingat emas terarah kepada acara badminton hari ini, apabila skuad negara berdepan India dalam acara berpasukan campuran di Sukan Komanwel 2018 di sini.

Skuad badminton negara, diketuai Datuk Lee Chong Wei, tidak menghadapi masalah apabila dengan mudah mengewaskan England 3-0 dalam saingan separuh akhir manakala India mengalahkan Singapura 3-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Bagaimanapun, sebutir emas telah terlepas daripada genggaman apabila Datuk Nicol David gagal mara ke final acara skuasy perseorangan wanita selepas tunduk 3-1 kepada pemain pilihan keempat Joelle King dari New Zealand dalam perlawanan separuh akhir.

Turut gagal ke final, Mohd Nafiizwan Mohd Adnan yang terkandas di separuh akhir apabila tunduk kepada pemain England, James Willstrop 0-3.

Nicol dan Mohd Nafiizwan masing-masing akan berentap bagi merebut pingat gangsa.

Dalam pada itu, skuad berbasikal terpaksa pulang dengan tangan kosong selepas acara itu melabuhkan tirainya pada Ahad.

Acara menembak yang membuka gelanggang semalam menyaksikan dua penembak negara gagal menyerlah dalam acara 10m Air Pistol dan 10m Air Rifle.

Bibiana Ng sekadar menamatkan saingan di tempat ke-11 dalam acara 10m Air Pistol wanita manakala Muhammad Ezuan Nasir Khan terlepas peluang ke final dengan hanya perbezaan 0.5 mata dalam acara 10m Air Rifle lelaki.

Jaguh pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan juga gagal menyerlah apabila menamatkan perlumbaan 100m di tempat keempat dalam saringan kesembilan sekali gus gagal ke peringkat separuh akhir manakala Zaidatul Husniah Zulkifli pula menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh di separuh akhir.

Hari ini, selain acara badminton, kontinjen negara meneruskan usaha memburu pingat dalam acara seperti menembak dengan menyaksikan penampilan Johnathan Wong dan Nur Suryani Mohd Taibi, olahraga, angkat berat, boling padang, hoki wanita dan renang.

Malaysia kini mengumpul dua emas dan satu gangsa daripada acara angkat berat.

-- BERNAMA