Beregu campuran utama negara, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying merangkul gelaran kedua musim ini selepas menjuarai Kejohanan Badminton Grand Prix (GP) Emas Terbuka Rusia 2015 pada Ahad.

Pasangan bukan pilihan yang menjuarai Terbuka Poland pada Mac lepas itu, diberi tentangan sengit daripada gandingan Jepun, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino sebelum mencatat kemenangan 21-13, 23-21 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Sport Hall Olympic di Vladivostok, Rusia, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF) www.bwfbadminton.org.

Namun, nasib berbeza menimpa beregu lelaki utama negara, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong walaupun menampilkan aksi terbaik apabila tumpas 20-22 dan 19-21 kepada pasangan tuan rumah yang juga pilihan pertama kejohanan, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov.

Pemain pilihan keempat, Zulfadli Zulkiffli muncul pemain terbaik negara dalam acara perseorangan lelaki, apabila tewas mengejut 12-21 dan 20-22 kepada pemain Estonia, Raul Must di separuh akhir pada Sabtu.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak menghantar wakil dalam acara perseorangan dan beregu wanita pada kejohanan bertaraf GP Emas itu, yang menawarkan wang tunai keseluruhan berjumlah AS$50,000 (RM191,164).