Keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan memaksa beregu campuran utama negara Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menarik diri daripada aksi separuh akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka India, hari ini.

Menurut laman sesawang www.bwfbadminton.org, pasangan itu menarik diri daripada perlawanan separuh akhir dan memberikan kemenangan percuma kepada lawan mereka dari China, Zheng Siwei/Chen Qingchen yang juga pilihan utama kejohanan.

Liu Ying pula dalam catatan instagramnya berkata pada hari ini beliau merasa tidak sihat dan terpaksa menarik diri daripada beraksi dan memberikan kemenangan percuma kepada lawan.

Peng Soon/Liu Ying menjadi wakil tunggal negara yang masih meneruskan cabaran selepas beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong tewas 15-21, 17-21 kepada pilihan kelima, Li Junhui/Liu Yuchen dari China dalam aksi suku akhir semalam.

Untuk rekod, Malaysia tidak menghantar wakil unuk tiga lagi acara iaitu perseorangan lelaki, wanita serta beregu wanita pada kejohanan tersebut yang menawarkan hadiah berjumlah US$325,000 (RM1.436 juta).

-- BERNAMA