Bekas juara berbasikal trek dunia, Mohd Azizulhasni Awang dan gimnas Amy Kwan Dict Weng dinobatkan sebagai Olimpian Lelaki dan Wanita Terbaik 2018 pada Majlis Anugerah dan Jamuan Malam Majlis Olimpik Malaysia (MOM) ke-25 di sini malam Rabu.

Kedua-dua atlet berkenaan, masing-masing menerima anugerah dalam bentuk wang tunai RM10,000 dan pingat khas yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Presiden MOM Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

Mohd Azizulhasni, 30, yang juga dikenali sebagai 'Pocket Rocketman', menampilkan prestasi cemerlang apabila meraih tiga pingat pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 - pingat emas acara pecut, pingat perak pecut berpasukan dan pingat gangsa acara keirin.

Gimnas berirama, Amy, 23, dalam pada itu, meraih empat pingat pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 - pingat emas disiplin riben individu, pingat perak berpasukan wanita serta pingat gangsa all-around dan gelung individu.

"Kemenangan ini menjadi motivasi kepada saya untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Tokyo 2020," kata Mohd Azizulhasni menerusi tayangan video. Beliau tidak dapat hadir menerima anugerah berkenaan kerana sedang menyertai Piala Dunia Berbasikal Trek di London.

Mohd Azizulhasni merupakan pelumba berbasikal ketiga meraih pengiktirafan itu selepas Josiah Ng pada 2004 dan Fatehah Mustapa (2017), sejak anugerah berkenaan mula diperkenalkan pada 1993, manakala dua gimnas Au Li Yen (1997) dan Ng Shu Wai (2005), turut pernah memenanginya.

Anugerah itu bagi mengiktiraf atlet lelaki dan wanita paling cemerlang yang menyertai temasya sukan di bawah bidang kuasa MOM seperti Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan SEA.

Sementara itu, pemain badminton perseorangan wanita, Goh Jin Wei dan pasukan hoki lima sebelah, kedua-duanya meraih pingat emas bersejarah negara pada Sukan Olimpik Belia (YOG) ketiga di Buenos Aires, Argentina, meraih pengiktirafan sebagai penerima Anugerah Khas MOM.

Pencapaian itu juga diiktiraf dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila Jin Wei disenaraikan sebagai atlet Malaysia pertama memenangi pingat emas pada YOG dalam sukan individu dan pasukan hoki lelaki bagi acara berpasukan.

Syed Saddiq menyampaikan hadiah wang tunai RM10,000 dan trofi khas kepada Jin Wei, serta RM18,000 (RM2,000 x 9 pemain) dan trofi khas kepada skuad hoki, manakala sijil MBOR disampaikan oleh ketua pegawai operasinya, Christopher Wong Hong Wai.

Majlis anugerah itu juga menyaksikan pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, pasukan badminton lelaki (Wong Choong Hann, Ong Ewe Hock, Yong Hock Kin, Yap Kim Hock, Cheah Soon Kit, Chong Tan Fook dan Lee Wan Wah) serta pasukan gimnastik berirama wanita (Carolyn Au Yong, El Reginal Tajudin, Thye Chee Kiat dan Sarina Sundara Rajah) diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran MOM.

Bekas Presiden MOM Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar dan Pengerusi Eksekutif Sukan Komanwel 1998 Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali, adalah dua bekas pemimpin yang diabadikan dalam Dewan Kemasyhuran berkenaan.

Trofi Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tahun ini bertemakan 'Olympism in Action' dianugerahkan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM), manakala Naib Presiden Persekutuan Hoki Ais Malaysia, Susan Loh Su Fang memenangi Anugerah Wanita dan Sukan MOM 2018.

SENARAI PENUH PEMENANG:



Olimpian Terbaik MOM

---------------------------------

Lelaki: Mohd Azizulhasni Awang (Berbasikal)

Wanita: Amy Kwan Dict Weng (Gimnastik)



Dewan Kemasyhuran MOM

------------------------------------

Bekas Pegawai Sukan Cemerlang:

1. Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar (MOM)

2. Tan Sri Mohamed Hashim Mohd Ali (SUKOM 98)



Bekas Atlet Kebangsaan Cemerlang:

1. Pasukan Badminton Lelaki Sukan Komanwel 1998

- Wong Choong Hann

- Ong Ewe Hock

- Yong Hock Kin

- Yap Kim Hock dan Cheah Soon Kit

- Chong Tan Fook

- Lee Wan Wah



Pasukan Gimnastik Berirama Wanita Sukan Komanwel 1998

- Carolyn Au Yong

- El Reginal Tajudin

- Thye Chee Kiat

- Sarina Sundara Rajah



Anugerah Wanita dan Sukan MOM

-------------------------------------------------

Susan Loh Su Fang (Naib Presiden Persekutuan Hoki Ais Malaysia)



Anugerah Khas MOM

-----------------------------

1. Goh Jin Wei (Badminton)

2. Pasukan Hoki Lima Sebelah Remaja Malaysia



Trofi IOC

-------------

Persatuan Badminton Malaysia (BAM)



-- BERNAMA