BARU-BARU ini, kelab penyokong Tottenham Hotspur, Malaysia Spurs mengadakan majlis berbuka puasa bersama Maahad Tahfiz Imaniyyah Zahidiyyah di Batu Caves bagi mengutip dana untuk sekolah tersebut.

Majlis tersebut merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial kelab tersebut.

Ini bukan kali pertama Malaysia Spurs mengadakan majlis amal seperti ini namun kali ini lebih istimewa kerana mereka mengambil kesempatan untuk bersama-sama mendoakan kejayaan Spurs, yang bakal menghadapi perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang juara lima kali, Liverpool.

Ustaz Ahmad Mahyuddin Nagarudin Nagaratanam dari sekolah tersebut, yang juga seorang penyokong tegar Spurs, memimpin bacaan doa bersama pelajar-pelajar sekolah tersebut.



Pada majlis yang dihadiri lebih 30 ahli Malaysia Spurs itu, mereka berjaya mengutip dana sebanyak RM1,600 menerusi lelongan amal barangan memorabilia Tottenham Hotspur.

Bukan sekadar mendoakan kejayaan Spurs, Ustaz Ahmad turut mendoakan kesejahteraan ahli-ahli Malaysia Spurs.

Selain itu, Malaysia Spurs turut memberi sumbangan duit raya kepada pelajar-pelajar dan juga barangan khas kelab bola sepak Inggeris itu.

Spurs akan menentang Liverpool di Estadio Metropolitano pada Ahad, jam 3 pagi.