ATLET judo Perak yang didapati positif doping ketika Sukan Malaysia (Sukma), awal bulan ini, berpeluang terlepas hukuman penggantungan jika doktor mengesahkan merawatnya menggunakan bahan terlarang jenis triamcinolone acetonite.

Setakat ini, belum ada atlet negara terlepas hukuman doping kecuali bekas pemain badminton negara, Sairul Amar Ayub, pada 2006.

Selepas 12 tahun, atlet judo wanita Perak itu berpeluang mencipta keajaiban sama dengan syarat dia memberikan kerjasama ketika proses pendengaran kes dalam masa terdekat ini.

Malah, dia akan terlepas daripada pertuduhan itu jika doktor yang merawatnya mengemukakan dokumen penggunaan triamcinolone acetonite untuk rawatan terhadap penyakit yang dialaminya.

"Pihak pengamal perubatan biasanya tahu apa yang perlu dimasukkan dalam surat berkenaan.

"Itu akan dikira sebagai makluman kepada pihak Adamas dan lazimnya dalam keadaan seperti itu atlet tersebut tidak akan dipersalahkan," kata Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Perak, Howard Lee, mendakwa atlet berusia 21 tahun
itu mendapatkan rawatan menerusi suntikan pada bahagian sendi, pada Khamis.

Bagaimanapun, dokumen mengenai rawatan itu tidak diberikan kepada Adamas ketika ujian doping dijalankan, sekali gus dikesan positif bahan terlarang.

"Apa yang berlaku ini perlu diberikan nilai yang tinggi daripada segi pendidikan bukan sahaja atlet dan jurulatih tetapi juga kepada mana-mana pegawai yang menjaga atlet, termasuk pegawai perubatan," tambah Dr Ramlan.