SELEPAS mengharungi enam kem pemilihan, program Astro Kem Badminton melabuhkan tirai di lokasi yang terakhir di Arena Simpang Tiga Kuching, Sarawak.

Lebih 2,673 orang peserta mendaftarkan diri untuk musim ini, bermula dengan Pulau Pinang, Kelantan, Johor Bahru, Kuala Lumpur, Sabah dan kini, Sarawak.

"Kami sangat gembira dengan maklum balas yang kami terima.

"Kami gembira dengan jumlah penyertaan kem ini yang membabitkan kanak-kanak berusia 10 hingga 12 tahun sebagai bukti peranan Astro Kem Badminton terhadap perkembangan pemain muda di seluruh negara," kata Naib Presiden Komunikasi Astro, Tammy Toh.

Sementara itu, seramai 60 peserta terbaik dalam kalangan senarai itu akan dipanggil semula untuk kem intensif di Kuala Lumpur.

"Mereka akan menyertai kem intensif di Kuala Lumpur dari 13 hingga 17 Ogos depan.

"Kemudiannya, mereka akan mengharungi satu lagi peringkat pemilihan sebelum berpeluang ke kem di Eropah," katanya lagi.