Pasukan ragbi Hong Kong dan Korea Selatan pasti tidak dapat menduga kejutan yang bakal dipersembahkan skuad ragbi negara pada kejohanan Liga Premier ARC 2018 April depan.

Demikian nada yakin yang disuarakan bintang ragbi kebangsaan Dineshwaran Krishnan dengan mengambil kira persiapan lebih bertenaga pasukannya bagi menghadapi kejohanan tersebut.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Duke menyifatkan mental pemain yang lebih bersedia dan aura Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi pemangkin untuk pasukan lawan gusar dengan amukan pemain negara.

“Hong Kong dan Korea Selatan akan terkejut dengan persembahan yang akan ditampilkan oleh skuad negara pada kejohanan itu.”

“Pemain kita mempunyai keyakinan yang tinggi dan sangat fokus serta persiapan skuad negara juga adalah lebih baik berbanding tahun lepas,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.

Kini, Duke sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan patah tangan ketika bersama pasukannya, Yamaha Jubilo menentang Panasonic Wildknights pada 24 Disember lalu dalam saingan Japan Rugby Top League.

Beliau akan pulang ke Jepun 27 Mac ini bagi meneruskan proses pemulihan dan ujian kecergasan.

Jika ujian tersebut positif beliau berpeluang untuk kembali berjuang bersama skuad Bunga Raya.

Sekalipun peluang untuk kembali bersama skuad negara adalah tipis, beliau yakin pasukan negara mampu melakar sejarah lebih manis bagi membuka tirai kejohanan tahun ini.

Malaysia akan memulakan saingan Liga Premier ARC 2018 menentang Korea Selatan dan Hong Kong masing-masing pada 28 April dan 5 Mei di Stadium Nasional Bukit Jalil.