Pemain Pulau Pinang yang juga pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri, bakal menerima ganjaran keseluruhan RM150,000.

Perkara itu diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin pada acara sambutan menyambut kepulangan Mohd Faiz di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Menurut Khairy, ganjaran RM100,000 diberikan oleh Kementerian Belia dan Sukan manakala insentif selebihnya RM50,000 diumumkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia.

"Bagi pihak kerajaan, saya mengucapkan ribuan tahniah kepada Mohd Faiz atas kemenangan yang luar biasa ini. Ini adalah kemenangan pertama Malaysia di peringkat dunia," katanya dalam ucapan penghargaan sebaik menyambut ketibaan Mohd Faiz.

Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Mohd Faiz, 29, turut menerima sijil pengiktirafan daripada Ketua Pegawai Operasi Malaysia Book of Records, Christopher Hw Wong selepas menjadi rakyat Malaysia pertama mendapat anugerah daripada FIFA.

Beliau turut menerima sijil penghargaan daripada FAM yang disampaikan oleh Afandi.


Mohd Faiz menerima pengiktirafan terbaik dalam kariernya selepas membuat jaringan paling cantik sepanjang 2016, hasil keunikan sepakan percuma ketika membantu Pulau Pinang menewaskan Pahang 4-1 dalam saingan Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada 16 Feb lepas.

Beliau juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama menerima pengiktirafan itu sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas, yang menikmati kejayaan hebat bersama kelab Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negaranya.

Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Mohd Faiz mengetepikan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi Ronaldo pada 2009.

Sebelum muncul sebagai tiga finalis penjaring gol tercantik dunia, Mohd Faiz turut mengenepikan saingan daripada pemain terkemuka dunia seperti Lionel Messi dari Argentina dan Neymar dari Brazil.