DENNIS Bergkamp menamatkan memori manisnya bersama Ajax Amsterdam dengan khabar duka apabila dipecat daripada jawatan pembantu jurulatih.

Turut terima nasib sama ketua jurulatih Marcel Keizer sementara rakan sejawatan Bergkamp, Hennie Spijkerman tidak lagi diberi perananan besar dalam melatih pemain.

Tugas ketua jurulatih kini diambil alih secara sementara oeh bekas pemain pertahanan Belanda Michael Reiziger dibantu Winston Bogarde yang mengambil alih tugas Bergkamp

Dibuang rakan sendiri

Sukar untuk ditelan, Bergkamp yang memulakan kerjaya profesionalnya bersama Ajax dipecat dua rakannya sendiri iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Ajax, Edwin Van der Sar dan Pengarah Teknikal, Marc Overmars.

Kedua-duanya merupakan bekas rakan sepasukannya ketika beraksi bersama Ajax dan pasukan kebangsaan Belanda. Malah Overmars turut pernah beraksi bersama Bergkamp ketika era kegemilangan Arsenal.

Alasan utama pemecatan adalah kegagalan Ajax mara dalam pusingan kalah mati Liga Juara-juara Eropah dan Liga Europa.

Kelab itu juga tewas kepada FC Twenty menerusi penentuan penalti dalam perebutan Piala Belanda pada Rabu lalu.

“Penyingkiran dari kejohanan Eropah adalah perkara yang paling buruk dan bersama Marc Overmars kami telah banyak kali berbincang dalam tempoh beberapa bulan ini mengenai kemampuan pasukan utama kita,” jelas Van Der Sar menerusi laman rasmi Ajax.

Namun hakikatnya di peringkat Liga Eredivisie, kedudukan Ajax tidak seteruk mana apabila menghuni tangga kedua liga dibelakang PSV Eidhoven dengan perbezaan hanya lima mata.

Bergkamp, 48, kembali ke pangkuan Ajax pada 2011 dengan kapasitinya sebagai penolong jurulatih.

Bekas penyerang Arsenal itu mengasah bakatnya dalam bolasepak bersama Ajax sebelum disenaraikan dalam skuad utama pada usia 17 tahun oleh bekas pengurus Ajax Johan Cruyff.