Sudah tiba masanya untuk menerapkan seni bela diri campuran (MMA) di sekolah-sekolah seluruh Malaysia bagi mencungkil bakat muda dalam sukan ini serta memberi tumpuan terhadap perkembangan belia.

Presiden Persatuan Seni Bela Diri Campuran Malaysia (MASSMMAA), Rashid Salleh berkata, MMA merupakan sukan yang berkembang dengan amat pantas.

Justeru, beliau merasakan satu usaha harus dilakukan dengan menerapkan sukan ini di bangku sekolah seperti sukan-sukan tempur lain seperti Karate, Taekwondo dan Silat Olahraga.

“Ini semua penting untuk asas MMA kerana satu perkara yang MMA tidak miliki ialah akar umbi, jadi dari situ kami akan mulakannya.

“Kami rasa kami perlu mulakan dari peringkat remaja, amatur dan saya rasa sukan MMA ini boleh kembang dan sukan ini adalah antara sukan yang berkembang pantas di dunia sekarang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Katanya, pertandingan MMA di peringkat sekolah sama seperti pertandingan Karate, Silat Olahraga dan Taekwondo yang mempunyai peraturan berbeza dan lebih selamat berbanding peringkat profesional.

Selaku badan yang menyelia sukan MMA di peringkat amatur, Rashid berkata beliau ingin memupuk semangat kesukanan, disiplin, kecergasan serta kekuatan minda kerana merasakan ia penting terhadap perkembangan atlet.

Baru-baru ini, dua atlet amatur negara, Colleen Augustin dan Brandon Tang masing-masing telah memenangi pingat emas dan gangsa dalam Kejohanan Terbuka Asia 2019 di Bangkok, Thailand.

BACA: Colleen raih emas untuk Malaysia di Kejohanan MMA Terbuka Asia

Pencapaian hebat ini juga membakar lagi semangat untuk Rashid untuk menggerakkan sukan ini ke peringkat Olimpik.

Menurut beliau, pertandingan MMA amatur, Malaysian Invasion Mixed Martial Arts (MIMMA) dan MASSMMAA sudah bergabung tenaga dan sedang usaha untuk memasuki peringkat Olimpik.

Selain itu, katanya organisasi MMA terbesar Asia, ONE Championship juga telah membuat pengumuman tentang hasrat untuk memasukkan sukan MMA ke Olimpik pada 2028.

“Saya percaya sekiranya mereka dapat masuk, maka kita akan cuba sedaya upaya untuk menghantar belia yang bertanding dalam kejohanan tahun ini dan saya rasa kami akan menjadi pertama yang akan dapat menghantar atlet ke Olimpik," katanya lagi.

Sukan MMA sebelum ini pernah mendapat sokongan padu dari Kementerian Belia dan Sukan, bagaimanapun Rashid berharap sukan ini akan terus diberi perhatian oleh kementerian tersebut seiring dengan sukan-sukan lain di Malaysia.

“Sebab itu saya mahu pergi ke sekolah tetapi saya harus ke gim dahulu dan mendapatkan sokongan dari pihak KBS dengan mengikuti terma sokongan untuk kita menjadi tonggak demi menyuarakan kepada pihak gim dan juga promoter kejohanan MMA," tambahnya.

Kata Rashid lagi, iItulah impian yang sedang diusahakan bersama pasukannya di MASMMAA untuk mengukir nama Malaysia ke peringkat antarabangsa.