Ahmad Shaiful Azis dan Sheikh Mohd Taslem akan mewakili negara dalam acara BMX Freestyle Flatland di Sukan SEA FIlipina 2019.

Pengumuman tersebut dibuat sebuah laman web BMX terkemuka negara, Kayuh BMX.

Ini merupakan kali pertama kategori BMX Freestyle Flatland dipertandingkan di Sukan SEA yang turut menyaksikan ia menjadi salah satu acara di Olimpik Tokyo 2020.

Shaiful yang lebih dikenali sebagai Mat Dagu dan Taslem yang dikenali sebagai Botak Kuantan, merupakan atlet BMX Flatland Malaysia yang berpengalaman luas dengan rekod baik dalam pertandingan di peringkat Asia.

Mereka kini menjalani latihan bersama atlet berbasikal lain yang dikendalikan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).

Menurut laman web itu lagi, mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada dua atlet tersebut untuk menyerlah di temasya itu yang akan diadakan di Tagaytay, Filipina dari 30 November hingga 11 Disember.

BMX flatland merupakan salah satu permainan jalanan yang semakin pudar namun kembali mendapat perhatian sejak BMX Freestyle Park diperkenalkan sebagai salah satu acara bertaraf profesional di Olimpik Tokyo 2020.

Kategori BMX flatland pula menyertai Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada 2018, dua tahun selepas BMX Park, menerusi pembangunan yang dibuat FISE World Series yang turut menjadi rakan kongsi UCI.

Ini membolehkan atlet BMX mendapat sokongan daripada badan sukan kebangsaan negara masong-masing dan mempunyai struktur yang lebih baik.

Kini lebih daripada 190 persekutuan berbasikal negara memperkenalkan BMX Flatland.

4 negara dari Asia Tenggara dijangka menyertai BMX Freestyle Flatland di FIlipina nanti, iaitu Thailand, Indonesia, Malaysia dan juga pasukan tuan rumah.