Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan kononnya beliau menyerahkan dokumen mahkamah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa pertemuan 23 Mac lalu.

Menerusi satu hantaran di laman Facebook miliknya, Ahmad Zahid yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berkata, dokumen yang didakwa sebagai dokumen mahkamah itu sebenarnya adalah Akuan Bersumpah (SD).

"Gambar yang tular di media sosial adalah perjumpaan Presiden parti-parti politik untuk mencadangkan agar Dr Mahathir mewujudkan Kerajaan Perpaduan tanpa DAP, PKR (Anwar) dan Amanah.

"Itulah titik persamaan persetujuan bagi memulakan perbincangan namun sokongan ditarik balik apabila Dr Mahathir pada Selasa mencadangkan Kerajaan Perpaduan semua parti yang melanggar persetujuan awal," katanya dalam status yang dimuat naik pada Ahad.

Sumber Facebook zahidhamidi.fanpage

Tegas Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), kehadirannya pada 23 Mac lalu adalah membawa mandat ahli dan pimpinan UMNO.

"Hanya mereka yang tidak mahu berfikir akan percaya fitnah-fitnah itu. Adakah dalam perjumpaan seramai itu akan dibincang hal peribadi sedangkan isu utama adalah mengenai perubahan kerajaan?" katanya.

Ahmad Zahid membuat hantaran tersebut bagi menafikan kenyataan pembantu Dr Mahathir, Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin yang mendakwa Ahli Parlimen Bagan Datuk itu cuba membuktikan beliau tidak bersalah terhadap segala tuduhan mahkamah ke atasnya.

Sumber Facebook amofficial

Beliau menghadapi 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya bagi kes pecah amanah, lapan membabitkan tuduhan rasuah dan 27 bagi kes pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.