Pentas politik Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Pilihan Raya Umum ke-14 bakal memberi indikasi sentimen pengundi bandar atau 'urban' di negara ini.

Dengan 11 kerusi yang membawa representasi pelbagai segmen masyarakat di dalam bandar, setiap parti yang bertanding harus mengatur strategi dengan teliti di setiap kerusi tersebut.

Ini kerana walaupun terdapat isu-isu besar yang menjadi perkara utama yang dibincangkan seperti kenaikan kos sara hidup dan pembangunan tidak terancang, sentimen-sentimen tempatan harus dijaga dengan menempatkan calon yang faham kehendak rakyat di sesuatu kawasan.

Seperti biasa, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mengetengahkan calon di setiap kerusi Parlimen manakala Pas bakal meletakkan wakilnya di tujuh daripada 11 kerusi di Kuala Lumpur.

Ini menjadikan empat kerusi iaitu Kepong, Bukit Bintang, Cheras dan Seputeh menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.

BACA: 'Perang' Wilayah: Ini wajah-wajah bakal pemimpin anda

BACA: UMNO pinjam Bandar Tun Razak, pulang semula Wangsa Maju kepada MCA

Melihat kepada sejarah pertembungan politik di kawasan ini yang dimonopoli DAP, tidak hairan untuk Pas tidak meletakkan calon.

Oleh itu, persaingan politik tiga penjuru di Kuala Lumpur menjadi tumpuan utama dalam PRU 14 kali ini.

Antaranya, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak yang menyaksikan calon muka baharu BN, Adnan Seman akan cuba merampas kerusi tersebut dari PKR yang meletakkan penyandang Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamaruddin Jaafar.

Grafik Astro AWANI

Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Dr Rosni Adam bakal menjadikan persaingan ini lebih menarik memandangkan beliau bukan sahaja membesar di kawasan tersebut tetapi sering menabur khidmat sebagai doktor pergigian.

Selain Bandar Tun Razak, turut mendapat tumpuan adalah kerusi Lembah Pantai dimana Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dipanggil parti bagi mempertahankan kerusi daripada 'serangan kedua' Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai Datuk Seri Raja Nong Chik Zainal Abidin yang kembali bertanding setelah kalah di kerusi tersebut pada PRU 13 ketika menentang penyandangnya Nurul Izzah Anwar.

Grafik Astro AWANI
Nurul Izzah kini berpindah ke Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang.

Pertembungan politik di sini menjadi lebih hangat berikutan keputusan Pas untuk meletakkan wakil mereka iaitu Fauzi Abu Bakar.

Situasi yang sama turut dilihat di kerusi-kerusi lain di Kuala Lumpur seperti Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa serta Segambut.


Grafik Astro AWANI


Grafik Astro AWANI


Grafik Astro AWANI

*Hafiz Marzukhi adalah wartawan Astro AWANI dan pemerhati politik tanah air.

**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.