Segala kelulusan untuk permohonan kerakyatan mesti melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan bukan pejabat mana-mana Ahli Parlimen.

Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, video tular yang cuba menghasut rakyat dengan menyebarkan berita palsu mengenai pendaftaran warga China di Kepong bagi mendapatkan MyKad itu benar-benar tidak masuk akal.

"Kalau mereka ini hendak menipu pun, carilah kaedah penipuan yang bijak sikit.

"Ia merupakan taktik kotor dalam usaha pihak tertentu mahu mengambil alih kepimpinan negara daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Sekiranya kita tanya murid sekolah darjah enam pun mengenai kementerian mana yang boleh meluluskan permohonan bagi kerakyatan di negara ini sudah pasti mereka akan jawab KDN," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Baru-baru ini tular demikian sebuah rakaman video yang mendakwa DAP Kepong sedang giat melakukan proses pendaftaran warga China.

Menurutnya, rakyat tidak bodoh untuk termakan dengan hasutan tersebut dan menyifatkan pihak berkenaan semakin terdesak dengan menabur fitnah bagi membangkitkan kemarahan orang Melayu terutamanya terhadap kerajaan PH.

Dalam pada itu tegas Khairuddin, dakwaan dalam video itu membuktikan perang psikologi puak tertentu yang sengaja mahu mengelirukan rakyat negara ini terhadap agensi yang selayaknya memberi kelulusan untuk permohonan kerakyatan kepada penduduk luar negara.

Susulan itu, Khairuddin turut menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah yang lebih tegas dalam memerangi penyebaran berita palsu kini.

Jelasnya, kepimpinan PH semakin mantap di bawah pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, selain yakin ekonomi negara semakin baik dalam tempoh enam bulan akan datang.

Dr Mahathir sebelum ini melahirkan kepercayan bahawa kerajaan boleh menangani penyebaran berita palsu walaupun setelah Akta Antiberita Tidak Benar 2018 dimansuhkan.

Sambil mengakui media sosial boleh disalahgunakan dengan serius, Perdana Menteri berkata, kerajaan memansuhkan akta itu seperti dijanjikan kepada rakyat yang mengundi Pakatan Harapan pada pilihan raya umum yang lalu.