UMNO pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan sebuah parti yang benar-benar mendukung prinsip kedaulatan rakyat, kata Bendahari parti itu Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Malah Salleh yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia itu menegaskan Najib sebagai presiden UMNO telah membuat penjenamaan semula parti itu yang sebelum ini dilihat sebagai elitis, komunalis, konservatif, ultra-nasionalis, dan autokratik yang dibelenggu oleh amalan kepuakan dan politik wang.

"Maka, ramailah penganalisis politik yang meramalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) bakal kehilangan kuasa seperti mana parti LDP di Jepun, Kuomintang di Taiwan, Golkar di Indonesia, dan Kongres di India.

"Tetapi, itu UMNO yang dahulu. UMNO yang dicipta oleh Tun Mahathir mengikut pemikiran dan gaya kepimpinannya. Legasi Mahathir terlalu besar dalam UMNO sehingga terbitnya istilah Mahathirisme yang cukup diingati dengan gaya pemerintahan “government knows all” yang tidak lagi relevan dengan politik kontemporari," kata Salleh menerusi blog peribadinya.

Katanya, penjemaaan semula yang dibuat oleh Najib bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi telah benar-benar mengubah nilai, amalan, pemikiran dan budaya UMNO.

"Sebagai arkitek politik yang cerdik, penjenamaan semula Umno oleh Najib bukan sekadar bersifat kosmetik, tetapi telah benar-benar mengubah nilai, amalan, pemikiran dan budaya Umno.

"Perlu disedari UMNO disukai bukan kerana retoriknya tetapi Umno disukai kerana pemimpinnya bersedia mendengar suara nurani rakyat," katanya lagi.

Beliau berkata pernah dahulu, selepas pelantikan Najib sebagai perdana menteri, ada golongan menyatakannya sebagai “the return of Mahathirism.”

"Ternyata, dakwaan tersebut meleset. Bagi Najib, “Government knows best era is over,” malah Najib memperkenalkan transformasi politik dengan menghapuskan ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dan meminda akta-akta yang menyekat hak-hak politik rakyat.

“Beliau juga menjaga kebajikan rakyat semua kaum dan tidak lagi bersifat komunalis. Dengan transformasi ini, tidak syak lagi, UMNO pimpinan Datuk Seri Najib adalah sebuah parti yang sebenar-benarnya mendukung prinsip kedaulatan rakyat," katanya.