UMNO Semporna yakin Barisan Nasional (BN) mampu mempertahan kesemua kerusi di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) biarpun dijangka berdepan saingan daripada bekas pemimpin parti yang berpaling tadah.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Semporna, Datuk Seri Nasir Tun Sakaran berkata perkara itu berdasarkan keyakinan penduduk yang melihat usaha tulus ditunjukkan kerajaan negeri dan pusat dalam memberi keselesaan hidup kepada masyarakat daerah tersebut.

"Sambutan masyarakat terhadap UMNO, Alhamdulillah dan mereka jelas menerima kerajaan sedia ada.

"Kerajaan BN adalah antara kerajaan terbaik di dunia dan menyediakan pelbagai program bantuan yang mencakupi semua peringkat lapisan masyarakat termasuk program warga emas, orang kelainan upaya, bantuan pendidikan serta elaun nelayan," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Nasir berkata penduduk sedar bahawa janji BN membantu rakyat telah terbukti lebih 60 tahun kerajaan sedia ada memerintah jika dibandingkan janji pembangkang yang omong kosong.

"Apabila UMNO bertapak di Sabah, parti ini sedaya upaya membawa kemajuan kepada setiap daerah dan tiket pembangkang kuat hanya pada cerita yang diuar-uarkan mereka sendiri," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata meskipun UMNO kini sudah pulih seperti sedia kala, setiap anggota perlu berpegang kepada prinsip meletakkan keutamaan parti melebihi kepentingan diri sendiri serta terus bersatu memperkemaskan jentera.

"Ikhlas dan bersatu adalah senjata ampuh melawan pihak pembangkang. Kalau dulu lawan kita muka baharu muncul atau parti yang kita tahu kekuatannya bagaimana, tetapi kali ini lawan kita adalah bekas orang dalam kita," katanya.

Sementara itu, Nasir yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Senallang mahu 32 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Semporna bersedia berhadapan PRU14 dan mengemas kini data pengundi.

Selain itu, beliau turut mengingatkan semua anggota menolak segala propaganda serta dakyah negatif yang boleh melemahkan UMNO Semporna.

-- BERNAMA