UMNO wajar mendapat agihan kerusi lebih adil dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurut Khaled, UMNO merupakan pendiri bersama kerajaan PN dan bukan menumpang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jelas beliau, sejak awal UMNO dan Pas menuntut agar Parlimen segera dibubarkan untuk memberi laluan kepada satu pilihan raya.

"UMNO hanya menukar pendiriannya setelah kedudukan politik Malaysia terus berkonflik kerana tindakan Tun Mahathir.

"Demi menyelesaikan kemelut tersebut, UMNO dan PAS memilih untuk menyokong Tan Sri Muhyiddin semata-mata atas kepentingan nasional.

"Tanpa UMNO dan PAS, Tan Sri Muhyiddin tidak dapat membentuk kerajaan. Justeru UMNO adalah pendiri bersama kerajaan PN dan bukan penumpang.

"Kerana itu UMNO merasakan wajar untuk ia mendapat keadilan melalui tuntutan 'proportionate’," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

BACA: Pelantikan Kabinet tidak adil - Mohamad Hasan

Khaled menjawab kritikan yang dibuat oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad baru-baru ini yang mendakwa pemimpin UMNO masih tidak berubah biarpun pernah tewas dalam pilihan raya.

Mengulas lanjut bekas Menteri Besar Johor itu menegaskan, UMNO merupakan parti politik dan parti itu tidak tunduk kepada Bersatu atau Muhyiddin.

"Kami mewakili kepentingan terbesar bangsa Melayu. Bukan blok Azmin dan bukan sesiapa.

"Janganlah lupa bahawa hampir 35 peratus Ahli Parlimen Bersatu menang atas tiket UMNO. Dan selainnya adalah mereka yang melompat dari mana-mana untuk mendapat jawatan," katanya lagi.

Khaled turut mengingatkan bahawa pada PRU14 yang lalu, Bersatu hanya memenangi 13 kerusi dalam pilihanraya lepas dengan undi popular yang sangat sedikit berbanding UMNO dan PAS menguasai 70 peratus undi popular Melayu.

Beliau menyarankan agar Abdul Hamid menyatakan kebimbangannya kepada kualiti dan wibawa Kabinet yang dibentuk PN itu.

"Bila 10 dari menteri dari blok Azmin adalah mereka yang tidak menghormati mandat rakyat dan memperdagangkan jawatan Ahli Parlimen mereka untuk jawatan. Apakah itu sesuatu yang bermoral pada kaca mata Tun Hamid?

"Dan beberapa lagi yang dilantik dalam Bersatu juga begitu. Mereka menang atas tiket UMNO tetapi memilih jawatan dari wibawa. Apakah ini kepimpinan Melayu yang Tun Hamid absahkan.

"Malah ada di kalangan mereka yang terpalit dengan skandal yang menjijikkan tetapi masih dilindungi dan diberikan tempat dalam kerajaan. Disebalik janji untuk kerajaan yang bersih dan berintegriti," katanya.

Khaled menegaskan kerajaan hanya akan disegani dan diyakini dengan wibawa Kabinetnya dan UMNO tidak akan menikus sebagai parti politik apatah lagi sebagai suara orang Melayu.