UMNO akan terus menjadi parti yang berlandaskan perkauman, kerana ia telah dilahirkan sebegitu, kata Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah hari ini.

Namun, itu tidak bermaksud UMNO telah mengabaikan kepentingan kaum-kaum lain di negara ini kerana ia merupakan sesuatu yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu sendiri merupakan sesuatu yang diperjuangkan parti sejak kemerdekaan lagi, tambahnya yang mesra dikenali sebagai Ku Li.

“UMNO adalah parti Melayu, dan ia akan kekal menjadi parti Melayu, kerana sentimen di peringkat akar umbi masih kuat.

"Anda boleh mengambil seorang dua bukan Melayu sebagai ahli, sebagaimana dilakukan parti-parti lain, dan kemudian mengaku mereka adalah parti berbilang kaum, tetapi asasnya parti itu masih lagi bukan parti berbilang kaum,” katanya pada satu sidang media di kediaman beliau, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada UMNO akan membuka keahliannya kepada bukan Melayu dan Bumiputera, sebagai salah satu usaha memastikan ia terus relevan dalam landskap politik masa kini.

Mengulas lanjut, Ku Li berkata, tidak ada mana-mana parti di negara ini yang bukan berasaskan perkauman.

“Parti mana yang bukan berasaskan kaum? Adakah Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) bukan berasaskan perkauman? Adakah DAP itu bukan berasaskan perkauman?

"Kami boleh membuka keahlian UMNO kepada seorang dari kaum India, seorang dari kaum Cina, atau kaum apa-apa sekali pun, dan menganggap kami ini parti berbilang kaum, tetapi ahli jawatan kuasa tertinggi akan terus dipegang Melayu.

“Tetapi harus ingat, Tunku Abdul Rahman merupakan bekas presiden UMNO, dan apabila beliau merangka Perlembagaan Persekutuan, ia berlandaskan semangat berbilang kaum.

"Dalam perlembagaan itu terdapat kontrak sosial yang menyentuh secara menyeluruh bagaimana semua rakyat di negara ini ada tempat mereka masing-masing,” ujarnya lagi.

Tambah Ku Li lagi, sejak Malaysia diperintah oleh Parti Perikatan dan Barisan Nasional, UMNO masih terus menjadi parti dominan, tetapi tidak pernah berlaku sebarang tindakan yang menidakkan hak-hak kaum bukan Melayu dan Bumiputera.

“Apa yang kita lihat, kaum bukan Melayu terus menjadi kaya, dari sehari ke sehari,” katanya lagi.