Pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh mempermainkan dan mengubah suai logo parti kerana tindakan boleh diambil ke atas mereka, kata Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, logo mana-mana parti yang ditubuhkan adalah satu lambang yang seharusnya dihayati serta dipertahankan setiap ahli, dan bukannya dipermainkan.

"Jadi, mereka yang mempermainkan logo parti bermakna mereka tidak menyayangi lambang parti mereka sendiri.

"Saya mengesyorkan mereka tidak melakukannya kerana tindakan boleh diambil mengikut perlembagaan parti dan Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Hamzah, yang juga Menteri Dalam Negeri, pada sidang media selepas menyampaikan pangkat secara "posthumous" atau anumerta, Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Polis Diraja Malaysia dan Faedah Terbitan untuk Allahyarham Sarjan Safwan Mohamad Ismail di Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta hari ini.

Pada 16 Jun, sebilangan penyokong Bersatu pro bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan kempen 'blackout' dengan menukar warna logo parti itu kepada hitam putih dan memuat naiknya di laman media sosial.

Dalam perkembangan lain, Hamzah menafikan spekulasi kehadirannya di Sabah dan bertemu Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah atas sebab-sebab politik seperti yang didakwa Pengarah Pendidikan Politik Nasional DAP, Liew Chin Tong.

Sebaliknya, beliau berkata, pertemuan itu adalah atas kapasitinya sebagai Menteri Dalam Negeri bagi membantu pihak yang memerlukan.

Hamzah berkata, beliau mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bertemu dengannya dan pintu Kementerian Dalam Negeri sentiasa terbuka untuk membantu orang ramai.

- BERNAMA