Ahli Parlimen Ranau Datuk Dr. Ewon Ebin menyifatkan bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak ikhlas dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysia 1963 (63) sebaliknya hanya mahu memancing sokongan rakyat Sabah dan Sarawak.

Ewon turut menempelak Tun Mahathir sejak 22 tahun menjadi perdana menteri beliau cukup tegas termasuk memenjarakan sekiranya mana-mana pihak cuba membangkitkan isu MA63.

"Kalau kita lihat ulasan-ulasan Dr Mahathir itu, bukan semuanya betul apa yang dia nyatakan, termasuk isu MA63. Semasa beliau menjadi perdana menteri, kita tidak boleh sebut soal MA63 ini, dan jika ada yang menyentuh isu ini, dia bakal dikenakan tindakan tegas.

"Berbeza dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, beliau bersifat terbuka dan kita boleh bercakap apa sahaja termasuk MA63 ini kepada beliau, beliau juga mengakui sendiri akan mengembalikan hak sejajar dengan MA63 sekiranya ada yang tidak tertunai selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Projek Inap Desa Lestari Kampung Kilimu, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), beliau menyatakan keyakinan bahawa Ranau akan kekal menjadi milik Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keyakinan itu berdasarkan kerjasama antara komponen BN di daerah ini yang terus bekerja untuk membantu rakyat.

"Kalau di kawasan ini, kita telah bersedia, kalau pilihan raya esok pun kita sudah sedia dan selaku Pengerusi BN Ranau, saya yakin Ranau akan tetap milik kita," katanya.