Sebanyak tujuh laporan polis dibuat oleh Pergerakan Pemuda UMNO serta gabungan badan bukan kerajaan (NGO) berhubung kenyataan kesat Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming terhadap Menteri Besar Perak baru-baru ini.

Dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Sungai Senam pada pukul 1.15 petang itu, Kor Ming yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang dikatakan telah menghina orang Melayu di pentas ceramah politik sekitar Ipoh.

Parlimen Belia Malaysia dalam laporan itu juga mengatakan bahawa tindakan Kor Ming yang mengeluarkan kata-kata kesat berbaur perkauman itu dilihat bertujuan untuk meraih undi menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Sementara Pengerusi Jawatankuasa Kerohanian dan Keagamaan, Mohd Adri Adha Mohamad berkata tindakan wakil rakyat itu adalah biadap kerana melabelkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir dengan makian berikutan penganugerahan BrandLaureatte yang diterimanya baru-baru ini.

"Sebagai seorang pemimpin, apa yang dilakukan oleh Kor Ming ini tidak wajar kerana beliau telah merosakkan imej pemimpin. Kita mahu Kor Ming minta maaf pada Sidang Dewan Undangan Negeri selain berbuat demikian secara terbuka,”katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Pengerusi Malaysian Association Youth Club Perak, Muhammad Iqbal Dinzly Muhamad Saifuddin berkata kenyataan Kor Ming di khalayak ramai itu merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima.

"Kata-kata kesat itu menunjukkan teladan yang tidak baik, sedangkan sudah ada bukti bahawa tiada pembayaran dilakukan untuk anugerah kepada Dr Zambry oleh Brandlaureatte. Sehubungan itu, kami berharap polis mengambil tindakan secepat mungkin.

Turut hadir, wakil daripada Pemuda Barisan Nasional Negeri Perak, BN Youth Volunteers Perak, Nadi Rakyat Malaysia Negeri Perak, Majlis Belia Daerah Kinta, Jaringan Melayu Malaysia (Perak) dan wakil Pemuda UMNO Perak.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Thamby ketika dihubungi mengesahkan menerima enam laporan berhubung insiden membabitkan Kor Ming dari Balai Polis Sungai Senam.