Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Terengganu, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris berkata, kerajaan perlu menolak sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kelas kedua di negara ini.

Sehubungan itu menurut beliau, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu mengkaji semula keputusan mereka untuk memberikan kelonggaran berhubung syarat kelulusan Bahasa Melayu bagi graduan perubatan.

Jelasnya, keputusan tersebut dilihat dapat memberi kesan kepada usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pertuturan utama di negara ini.

“Saya rasa KKM perlu kaji semula keputusan untuk memberikan kelonggaran syarat lulus Bahasa Malaysia untuk graduan perubatan. Keputusan ini selain akan menyebabkan berlaku salah faham dan sebagainya antara doktor dan pesakit, ia juga akan memberi kesan kepada usaha untuk mendaulatkan Bahasa Malaysia, sebagai bahasa kebangsaan negara.

“Saya juga agak musykil dengan keputusan KKM ini. Adakah perkara ini telah dibincangkan di dalam Kabinet? Atau bolehkah KKM secara suka-suka membuat keputusan sendiri, sedangkan memartabarkan bahasa kebangsaan ialah salah satu daripada agenda negara.

“Saya kira dalam isu ini, KKM sebagai salah sebuah agensi kerajaan sepatutnya menjadi juara dan terkehadapan dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan. Bukannya membuat satu keputusan yang boleh menyebabkan bahasa kebangsaan lambat laun tidak dipandang tinggi dan seolah-olah menjadi bahasa kelas kedua,” ujarnya kepada UMNO-Online di sini hari ini.

BACA: Isu lulus BM: Doktor Inggeris dahulu pun cakap Melayu - Rais

BACA: Lulus BM dilonggar, elak ratusan graduan perubatan disia-siakan - MMA

Tambah beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Terengganu, sebarang usaha daripada mana-mana pihak untuk menidakkan atau meletakkan bahasa Malaysia sebagai bahasa kelas kedua di negara ini patut ditolak oleh kerajaan.

“Bahasa Melayu bukan sebuah bahasa baru muncul. Ianya telah menjadi bahasa yang dipertuturkan oleh penduduk dunia sejak 1,000 tahun dulu. Bahasa Melayu juga adalah lingua franca yang dipertuturkan lebih daripada 300 juta penduduk di dunia. Di dalam dunia pula, ia menjadi bahasa keempat yang menjadi medium komunikasi utama bagi penduduk dunia.

“Justeru itu, saya agak pelik apabila melihat sebuah agensi kerajaan yang sepatutnya mendokong usaha untuk mendaulat bahasa Melayu bertindak sebaliknya.

“Saya harap agar KKM mengkaji semula keputusan tersebut dan dalam masa yang sama, pihak kerajaan juga perlu campur tangan agar hasrat KKM mahu melonggarkan syarat kelulusan Bahasa Melayu ini tidak terus dilaksanakan,” tegasnya.