Tindakan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menandatangani dokumen Deklarasi Rakyat diselar sebagai satu tindakan yang bertujuan untuk menanam kebencian rakyat terhadap pemimpin dan bukannya untuk kesejahteraan rakyat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak berkata Dr Mahathir sebenarnya telah terperangkap dengan cubaan menjejaskan iklim politik dalam negara yang dirancang oleh pihak pembangkang.

Katanya, UMNO negeri bersepakat dan menyeru kepada semua ahli parti khususnya, agar tidak hilang fokus terhadap strategi pembangkang kerana katanya mereka akan menggunakan apa sahaja helah termasuk berbaik dengan Dr Mahathir, yang selama ini musuh nombor satu mereka hanya untuk menggugat kerajaan.

BACA: Tun Mahathir 'desperate' mahu kacau pentadbiran negara - Mas Ermieyati

BACA: Tun Mahathir berkawan semula dengan pihak yang gelarkannya 'Firaun' - Hishammuddin

BACA: Azmin akui 'gerakan undur Najib' berdepan cabaran

“Walau apa pun justifikasi yang diberikan, yang jelas Dr Mahathir telah hilang pertimbangan kerana luapan amarahnya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

“Ibarat marahkan nyamuk kelambu dibakar tindakan beliau bukan sahaja mensasarkan Perdana Menteri tetapi sebenarnya terperangkap dengan cubaan menjejaskan iklim politik negara,” kata Zambry selepas merasmikan Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Belia Perak pagi ini.

Tindakan Dr Mahathir yang duduk bersama pemimpin pembangkang dilihat sebagai satu usaha mengambil alih peranan pembangkang untuk menumbangkan kerajaan. - Foto AFP
Tambahnya, UMNO negeri akan terus memantapkan gerakan parti dan fokus dalam usaha memastikan mandat rakyat yang diberikan kepada Perdana Menteri dalam menerajui pentadbiran negara dilaksanakan penuh tanggungjawab.

Dr Mahathir mengetuai kumpulan lebih 50 orang termasuk Lim Kit Siang daripada DAP dan Menteri Besar Selangor Datuk Mohamed Azmin Ali daripada PKR dalam memeterai deklarasi menyokong penyingkiran Najib sebagai perdana menteri.

Penandatanganan lain termasuk bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik.

Sementara itu, Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional Perak (BNBBC), Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata pihaknya melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Dr Mahathir yang bersekongkol dengan pihak pembangkang walaupun beliau pernah menjadi peneraju UMNO sebelum ini.

Katanya jawatan Perdana Menteri adalah satu tanggungjawab yang dipilih berdasarkan proses demokratik dan bukannya sesuka hati dan tindakan Tun Mahathir serta beberapa ahli parti lain sebenarnya adalah untuk kepentingan sendiri.

Jelasnya, BNBBC Perak mengganggap tindakan Dr Mahathir sebagai sesuatu yang bertujuan membalas dendam, bersifat peribadi dan untuk menjatuhkan Perdana Menteri bukannya untuk kesejahteraan rakyat seperti yang diperkatakan.

“Reaksi yang kita dapat khususnya dari BNBBC serta ahli ahli dewan undangan negeri adalah mereka menyatakan rasa kecewa yang amat sangat kerana Dr Mahathir bersama-sama dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir boleh duduk semeja pula dengan meja pembangkang,” kata Mohd Khusairi.

Harapannya, agar Majlis Tertinggi UMNO dapat segera bermesyuarat bagi membincangkan tindakan setimpal terhadap Dr Mahathir dan ahli parti yang secara terbuka bersekongkol dalam Deklarasi Rakyat pada Jumaat itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri Belia Perak sesi 2016/2017, penggal pertama 2016 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Sabtu.