Ketika hayatnya, terutama semasa mengetuai kerajaan Kelantan, sosok kebanggaan Pas ini disenangi banyak pihak.

Tidak kira Melayu, Cina atau India, semuanya melihat bekas mursyidul am Pas itu sebagai tokoh untuk semua kaum.

Itu cerita ketika sosok itu masih ada, masih menjadi menteri besar Kelantan dan masih memegang jawatan mursyidul am Pas. Tetapi kini, semuanya tinggal kenangan yang pasti dirindui terutama oleh ahli Pas.

Tanggal 12 Febuari lepas genap tiga tahun sosok kebanggaan Pas, Allyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia.

Selama 23 tahun menjadi menteri besar Kelantan, sokongan rakyat tidak berbelah bagi sehingga Pas mampu mengekalkan pentadbiran selama 28 tahun yang kini disambung oleh Datuk Ahmad Yakob.

Selepas pemergian Nik Abdul Aziz, ada yang berpendapat Pas semacam hilang sengat dan tidak mustahil akan kehilangan tanah serambi mekah itu.

Bekas setiausaha akhbarnya, Ahmad Fadli Shaari mengakui, sokongan dan undi waktu dahulu banyak dipengaruhi oleh batang tubuh Nik Abdul Aziz.

"Kita akui bahawa ada sebahagian pengundi undi Pas kerana batang tubuh tok guru dan walaupun demikian sebahagian besar lagi melihat kerana dasar Pas.

"Jasa dan idea almarhum tetap tidak akan dilupa, apa yang dibuat sehingga hari ini diguna pakai, reformasi tok guru masih lagi diguna pakai," katanya kepada Astro AWANI.

Istilah 'malu alah' atau rasa hormat yang tinggi pada Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak boleh dinafikan.

Tidak boleh dinafikan, Pas kekal memerintah di kelantan hingga hari ini atas faktor Nik Abdul Aziz.

Jika tewas di Kelantan, maruah Pas akan tercalar teruk.

Pilihan Raya Umum ke-14 nanti merupakan medan untuk menguji kekuatan Pas tanpa Nik Abdul Aziz.