Pakatan Harapan (PH) tiada niat untuk melaga-lagakan dua anak bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sebaliknya Pengerusi PH Kelantan, Husam Musa, menegaskan percaturan mereka meletakkan Nik Omar Nik Abdul Aziz di DUN Chempaka adalah kerana yakin dengan kemampuan anak Tok Guru itu.

Malah, Husam berkata, sekiranya Allahyarham Nik Abdul Aziz masih ada, Tok Guru sudah pasti gembira sekiranya Nik Omar menang di kerusi itu.

"Bukan niat nak plago (melaga-lagakan) adik beradik, tetapi kalau menang Nik Omar, takkan la arwah bapa mereka tidak tumpang gembira," kata Husam ketika berucap melancarkan manifesto PH di Tunjong malam tadi.

Pada majlis itu, Husam membentangkan 11 tawaran utama, antaranya melupuskan tunggakan hasil tanah dan cukai pintu perseorangan.

Husam juga berjanji untuk menyelesaikan isu royalti minyak didakwa berjumlah RM1 bilion, yang mana akan memberi Kelantan dana secukupnya untuk membangunkan infrastruktur.


Nik Omar yang akan bertanding atas tiket PKR-Amanah di DUN Chempaka, dijanjikan jawatan Menteri Besar sekiranya PH menang di Kelantan.

"Kita yakin kita ada pasukan yang lebih kuat. Kalau PH menang di Kelantan, kita tidak akan bawa masuk balik judi.

"Kita kekalkan polisi yang baik, dan akan beri yang lebih baik," tegas Nik Omar.

HUSAM (empat kiri) menunjukkan isyarat bagus selepas pelancaran manifesto PH di Tunjong malam tadi.

Berikut 11 tawaran utama manifesto PH.

1. Melupuskan Tunggakan Hasil Tanah dan Cukai Pintu orang perseorangan

2. Menghapuskan serta merta bayaran letak kereta di semua bandar di Kelantan untuk dua tahun pertama kerajaan PH mentadbir.

3. Menurunkan kadar cukai tanah dan bayaran premium permohonan tanah kepada kadar sebelum kenaikan 2015.

4. Menyediakan 20,000 peluang pekerjaan menerusi pembinaan Pusat Pembangunan Petroleum dan Tenaga Negeri Kelantan di Bachok.

5. Mengkaji menurunkan Cukai Pintu di seluruh negeri Kelantan

6. Mengecualikan bayaran Cukai Pintu kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan tetap, keluarga miskin dan kurang upaya melalui permohonan khas.

7. Kerajaan negeri mebuat caruman permulaan percuma sebanyak RM10 setiap seorang rakyat Kelantan ke dalam Koperasi Rakyat Kelantan yang akan ditubuhkan.

8. Membina Mini Pelabuhan Perdagangan bagi mewujudkan peluang ekonomi dan perdagangan baru.

9. Menyediakan tapak rumah sejumlah 100,000 lot dalam masa lima tahun untuk rakyat yang tidak bertanah.

10. Mewujudkan jawatan-jawatan anggota yang dilantik dalam DUN Kelantan terdiri daripada wanita dan golongan minoriti

11. Menyiapkan Lebuhraya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dalam masa 18 bulan, seterusnya merangka sambungan Lebuhraya sampai ke Gua Musang.