Pemimpin UMNO disaran kembali memperkasa bahasa Melayu terutama dalam program bersama akar umbi termasuk 'Kembali ke Sekolah'.

Ahli Parlimen Kuala Pilah yang juga Duta Malaysia ke Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek berkata, ia sekali gus mempertingkatkan rasa kecintaan kepada negara dan memperkasi bahasa kebangsaan ke tahap yang lebih tinggi.

Jelasnya, penggunaan bahasa Melayu dengan meluas membuktikan kekuatan parti dalam kepentingan satu bahasa pengantar rasmi untuk semua kaum.

"Teguran Rais itu harus dilihat dalam aspek positif, ia penting demi memastikan bahasa Melayu tidak hanya menjadi perkara penting dalam program tertentu sahaja.

"Saya sendiri menggunakan nama program 'Kembali ke Sekolah'. Saya tahu ia lebih mengeratkan serta mesra kepada pelajar dan ibu bapa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

BACA: Kenapa bijak pandai UMNO guna 'Back to school'? - Rais Yatim

Terdahulu, Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr Rais Yatim menyarankan pemimpin UMNO menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Inggeris di dalam setiap program yang dianjurkannya termasuk pemberian bantuan pelajar kembali ke sekolah.

Jelasnya, penggunaan bahasa Inggeris melambangkan parti itu seolah-olah menyertai kumpulan yang mahu 'membunuh' bahasa Melayu dalam aktiviti seharian.

Terdahulu, Hasan berkata, pihaknya menyerahkan kelengkapan sekolah kepada kira-kira 200 murid tahun 1 dari 48 buah sekolah sekitar Kuala Pilah.

Katanya, kebanyakan murid-murid itu datang dari pelbagai bangsa, kumpulan asnaf dan golongan yang kurang berkemampuan.

"Mereka menerima barangan terdiri daripada kelengkapan baju, kasut dan beg sekolah.

"Barangan ini adalah sumbangan daripada UEM dengan kerjasama Pejabat Parlimen Kuala Pilah dan Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Pilah," ujarnya.