Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan teguran yang dibuat oleh Naib Presiden parti, Rafizi Ramli kepada menteri Kabinet merupakan satu perkara biasa.

Menurut Anwar, tidak timbul sebarang isu mengenai teguran itu, namun menyifatkan ia hanya disensasikan oleh kumpulan media.

“Dia tegur begitu.. apa nak buat? Saya pun tegur kerja kuat. You ni macam pemikiran UMNO lama.

“Tegur sikit, panik. Biarlah. Walaupun media bebas sekarang, tetapi anda fikiran kerangka lama. Tegur ini, tak setuju, tak boleh.

“Semalam, saya tegur Gobind (Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo), dia okay dan terima baik,” katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Kampung Felda Sendayan, Negeri Sembilan.

Malam tadi (Khamis), Rafizi Ramli dalam ceramahnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau menegaskan rakyat perlu mengakui dan menerima hakikat kerajaan Pakatan Harapan (PH) baru berusia 11 bulan dan masih gagal membentuk satu strategi komunikasi yang baik.

Katanya, ketiadaan strategi komunikasi yang berkesan itu mengakibatkan banyak isu mengarut ditimbulkan pemimpin serta penyokong pembangkang.