Pemuda UMNO mencadangkan supaya beberapa tawaran baharu dibuat kepada golongan muda dalam manifesto menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin memaklumkan, ia merangkumi peluang pekerjaan, ekonomi serta agenda sosial yang mampu meraih minat anak muda.

"Supaya orang muda dapat lihat bahawa selain daripada apa yang kita telah buat selama ini, ada lagi idea-idea yang akan ditawarkan UMNO dan Barisan Nasional, " katanya kepada pemberita selepas ucapan penggulungan Ketua Pemuda UMNO di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut menyentuh mengenai isu dalaman parti termasuk pemilihan calon yang bakal bertanding bagi memastikan kemenangan terus memihak kepada UMNO.

Ia sekali gus memperlihatkan UMNO kekal relevan pada rakyat.

"Walaupun Pemuda, kita menyatakan sokongan untuk terima sesiapa sahaja dengan apa sahaja keputusan.

"Tetapi sebelum keputusan dibuat, Pemuda juga menyuarakan pandangan supaya UMNO dapat dilihat sebagai 'party of the future', iaitu mestilah ada cukup calon-calon muda atau lebih ramai lagi calon-calon muda dan baru diketengahkan," jelasnya.

Dalam pilihan raya lepas, lebih 40 calon muda diketengahkan untuk bertanding dan beliau berharap lebih ramai calon diketengahkan untuk PRU akan datang.

Tambahnya, Pemuda tidak melihat kepada peratusan sebaliknya memperincikan kualiti, peluang kekosongan, kemampuan serta penerimaan daripada akar umbi.