Pilihan Raya Kecil di Parlimen Tanjung Piai akan menjadi referendum untuk dua perkara, iaitu penerimaan rakyat terhadap Piagam Muafakat Nasional oleh Barisan Nasional (BN) dan Pas, serta kepercayaan rakyat terhadap kerajaan Pakatan Harapan (PH), kata Pengerusi BN Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad.

Beliau berkata, PH perlu menilai sendiri sentimen rakyat terhadap mereka sejak gagal mengotakan beberapa perkara yang telah dijanjikan dalam Manifesto PH, serta isu yang masih mencengkam rakyat ketika ini seperti tol, minyak dan kos sara hidup.

“Saya rasa PRK Tanjung Piai ini adalah merupakan referendum terhadap sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan. Kerajaan perlu menyedari bahawa apa juga yang mereka lakukan, apa juga mereka katakan akan dinilai rakyat.

“Pada masa sama, pilihan raya kecil ini juga (menjadi) referendum terhadap Piagam Muafakat Nasional (UMNO-Pas), dan melalui Muafakat Nasional itu kita akan pastikan bahawa kemenangan di Tanjung Piai ini satu petanda bahawa rakyat ingin melihat bahawa perpaduan, keharmonian, kemakmuran masyarakat penting untuk dipertahankan,” katanya lagi.

BACA: PRK Tanjung Piai: Wee Jeck Seng sah calon BN

Beliau berkata demikian selepas mengumumkan bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng sebagai calon BN untuk PRK kali ini.



Dalam pada itu, beliau turut menyedari ada perasaan tidak puas hati di kalangan akar umbi UMNO yang mahu melihat kerusi itu diserahkan kepada parti mereka untuk ditandingi.

Namun Hasni berkata, pelbagai kajian di peringkat pusat dan lapangan telah dijalankan, sebelum mereka memutuskan Wee adalah calon terbaik bagi BN.

Selain itu beliau berkata, pertemuan demi pertemuan telah dijalankan dengan ketua Pusat Daerah Mengundi, dan mereka memberi jaminan tiada unsur sabotaj akan berlaku.

“Semalam kita berjumpa, tidak akan berlaku sebarang sabotaj, di peringkat UMNO sebagai parti utama dalam pergerakan pilihan raya ini, saya merasakan, semangat untuk memenangkan PRK ini adalah begitu tinggi,” tambahnya.