Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan Pakatan Harapan (PH) bahawa isu pokok Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai ialah mengenai pembelaan nasib rakyat, bukan mengenai dirinya.

Selain itu, bekas pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, kerajaan tidak harus memesongkan fokusnya yang sepatutnya ditumpu kepada soal masa depan negara, pentadbiran, serta sejauh mana ia dapat memenuhi kehendak rakyat.

"Saya rasa pelik sebab saya bukan lagi perdana menteri, bukan presiden parti, malah ada saya dengar Timbalan Menteri Pertahanan (Liew Chin Tong) sebut bahawa, kalau Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, maknanya saya menang.

"Ini saya rasa tak masuk akal. Seolah-olah dia calon saya. Wee Jeck Seng calon BN.

"Isunya bukan isu Najib, isunya soal masa depan negara, soal pentadbiran yang ada hari ini, sejauh mana mereka dapat memenuhi kehendak rakyat, sejauh mana mereka dapat membela rakyat. Itulah isu pokoknya, bukan soal saya,” katanya lagi.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai memberi ceramah di Pusat Daerah Mengundi Kampung Duku, di sini, malam tadi.

Kempen PH kebanyakan masa menumpu kepada soal salah guna kuasa di bawah pentadbiran Najib, termasuk kes yang beliau sedang hadapi di mahkamah iaitu SRC International Sdn Bhd dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Terdahulu, Najib memberitahu pengundi bahawa sekiranya BN menang di Tanjung Piai, ia akan menjadi titik permulaan dalam usaha pakatan itu merebut kembali Putrajaya.

Katanya lagi, sokongan kaum Cina yang dilihat mula bertiup ke arah BN memberi petanda positif, kerana ia tidak begitu kelihatan pada beberapa siri PRK sebelum ini, sejak PH mengambil alih pentadbiran pada pilihan raya umum lepas.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian wakil rakyatnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada Bersatu pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh mengundi pada 16 November ini.

PRK ini menyaksikan pertandingan enam penjuru, melibatkan calon dari PH Karmaine Sardini, calon Gerakan Wendy Subramaniam, calon Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz, dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, serta Wee Jeck Seng.