Datuk Seri Najib Razak menyifatkan pelantikannya sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) bertujuan mengembalikan sokongan rakyat terhadap parti itu.

Ujarnya, beberapa keputusan strategik telah dibuat dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Isnin.

"Satu penghormatan bukan untuk diri saya, tetapi tanggungjawab besar untuk memulih keadaan BN berdasarkan Piagam BN yang baru, yang akan dilancar pada Konvensyen BN, September akan datang.

"InsyaAllah juga, beberapa keputusan strategik telah kita buat malam ini.

"Ia termasuk bagaimana BN menampilkan imej parti pelbagai kaum, agama dan bangsa, supaya semua dapat melihat BN ini mencerminkan masyarakat majmuk Malaysia, tetapi tetap berpandu kepada perlembagaan kita," katanya ketika bercakap kepada media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) malam tadi.

Terdahulu, Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan Mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi BN malam tadi sebulat suara bersetuju Najib dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN.

Najib berkata, beliau akan berbincang dengan Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden MIC Tan Sri S A Vigneswaran berhubung perlantikan anggota lembaga penasihat berkenaan.

"InsyaAllah saya akan bekerja sedaya upaya dan saya akan berbincang dengan pengerusi BN, presiden MIC dan MCA tentang pelantikan beberapa anggota Lembaga Penasihat BN bagi membantu saya menjalankan tugas sebagai penasihat.

"Dalam sedikit masa lagi, sekurang-kurangnya tiga orang mungkin kita perlu tambah lagi," katanya.