Pakatan Harapan (PH) yakin mempunyai sokongan yang mencukupi untuk menubuhkan kerajaan dengan gabungan yang dimiliki ketika ini.

Ini kerana, menurut Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad, jumlah yang dimiliki setakat ini cukup untuk membentuk kerajaan menerusi majoriti mudah meskipun tidak mencecah dua pertiga.

Sewaku disoal mengenai keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) berikutan percaturan politik yang berlaku, Khalid Samad hanya menjawab ia tidak menjadi suatu keperluan.

“Tidak, kita tidak bincang tentang PRU. Mengapa kita perlu membazirkan duit untuk mengadakan pilihan raya kalau kita boleh mendapatkan majoriti yang jelas," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau memberitahu bahawa untuk mendapatkan majoriti dua pertiga adalah perkara yang agak sukar.

“Majoriti dua pertiga adalah perkara masa lalu dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Dengan majoriti mudah pun cukup untuk PH membentuk kerajaan,” jawabnya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Presiden PH, di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Petaling Jaya pada Selasa malam.

Sementara itu, Khalid juga mengulas bahawa mesyuarat yang diadakan itu berlangsung dengan baik sekali gus membawakan intipati yang seolah-olah merujuk kepada perkara sesuatu positif akan berlaku.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ketua Umum PH yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri oleh Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta beberapa pemimpin parti politik lain.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa mesyuarat tersebut tidak menyentuh mengenai calon Perdana Menteri yang akan diangkat oleh kerajaan baharu PH berkenaan.

Ditanya sama ada mesyuarat itu membincangkan mengenai status Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Khalid berkata, soalan itu perlu diajukan kepada parti itu sendiri.

BACA: Blok pembangkang sepakat, Parlimen dibubarkan

BACA: Malaysia2020: Apakah Parlimen akan dibubarkan?