TERBACA satu kenyataan dari Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkaitan kerjasama antara UMNO -Pas dan seolah memberikan kata dua kepada UMNO.

Bagi saya MCA tiada kuasa untuk menyingkir UMNO daripada BN kerana semua keputusan dalam gabungan itu dibuat secara bersama.

MCA juga tidak wajar membuat kenyataan kepada media tentang menyingkir parti Melayu terbesar itu daripada BN.

Dia tak ada kuasa sendiri dan MCA perlu sedar dia juga tak mampu untuk tarik kaum Cina menyokong kita…hanya 2.5 peratus pengundi Cina menyokong BN sewaktu pilihan raya umum.

Sebaliknya MCA harus melihat manfaat daripada kerjasama UMNO-Pas.

Banyak kerusi MCA bergantung pada kerusi Melayu. Pas boleh memperkukuhkan penguasaan pengundi Melayu, MCA yang akan mendapat faedah dan UMNO sedar tiada kerusi majoriti pengundi Cina yang selamat untuk MCA.

Kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang memberi amaran BN akan dibubarkan atau UMNO disingkir daripada gabungan itu jika parti Melayu itu bergerak ke arah politik teokrasi amat keterlaluan.

UMNO tidak pernah belasah MCA apabila gagal dalam PRU lalu. Tiba-tiba nak jadi abang long pula suruh orang keluar, ‘who are you’?”

Suka untuk saya menasihatkan MCA supaya membangkitkan sebarang permasalahan menerusi BN.

Kita nak terima parti atau nak suruh parti keluar mesti secara konsensus.

Jadi saya harap usah mengeruhkan hubungan antara parti komponen. Kalau MCA rasa masih bersama BN, jaga perasaan parti kawan.

MCA perlu sedar bahawa BN merupakan parti multiracial... UMNO memperjuangkan kepentingan Melayu..

MCA memperjuangkan kepentingan Cina dan MIC memperjuangkan untung nasib bangsa India.

Setiap parti berjuang dalam ruang lingkup parti masing-masing yang akhirnya memberi faedah kepada semua parti di dalam BN

Tiong Lai sepatutnya faham struktur BN. Kerjasama antara UMNO dengan Pas tidak akan mengubah struktur BN.

Yang menghairankan saya kenapa MIC tidak menolak kerjasama ini malah sewaktu PRK Seri Setia, MIC berkempen membantu calon Pas, malah Presiden MIC, Tan Sri Vigneswaran mengetuai delegasi MIC bertemu kepimpinan Pas.

Saya cukup yakin bahawa Presiden MIC melihat kelebihan dan manfaat dari kerjasama kedua parti Melayu ini kepada politik MIC.

Malah sehingga kini tidak ada perbincangan rasmi antara UMNO dan Pas mengenai kerjasama seterusnya selepas PRK baru-baru ini.

Jadi MCA tidak perlu melatah. Saya harap Tiong Lai buang sikap ego untuk mengugut rakankongsi dalam BN.

Walaupun UMNO parti besar dan kerusi yang dimenangi pun jauh lebih besar tapi UMNO tidak pernah sombong untuk mengugut rakan-rakan kongsi supaya keluar.

Saya harap Tiong Lai faham budaya dan peraturan BN.

Medan terbaik untuk perbincangan ialah Mesyuarat Badan Tertinggi BN.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Naib Presiden UMNO