Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengesahkan tidak akan menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri itu.

Sebaliknya, menurut Ahli Parlimen Muar itu, beliau akan menubuhkan sebuah parti politik baharu.

Jelas bekas ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu, parti baharu itu akan disertai oleh pelbabagi kaum dengan memberi fokus kepada golongan anak muda.

“Jika di Thailand mereka boleh menubuhkan Future Forward, di Perancis mereka boleh menubuhkan En Marche di bawah Macron, saya rasa sudah sampai masanya di Malaysia untuk menubuhkan gerakan terdiri daripada orang muda.

“Daripada teknokrat, profesional, ahli politik muda pelbagai latar belakang untuk bersatu bagi memastikan suara belia mendominasi Parlimen dan di luar Parlimen, akhirnya belia tidak boleh dipandang enteng lagi.

“Sudah sampai masanya untuk politik tidak dikawal dan dimonopoli orang sama,” kata Syed Saddiq memetik Channel NewsAsia.

Beliau berkata demikian ketika berkempen untuk calon Pejuang bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, pada Ahad.

Terdahulu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menyertai konvoi motosikal bagi berkempen menyokong calon bebas yang disokong Pejuang pada PRK Slim, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Pada Rabu, parti Pejuang yang diasaskan oleh Dr Mahathir didaftarkan secara rasmi dan menggunakan huruf Jawi ‘Pa’ sebagai logo.

Bakal Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjelaskan, logo berwarna ‘biru pantone’ itu turut terdapat tiga titik yang bermaksud rukun Islam, rukun Iman dan rukun negara.