Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mendaftarkan Muda sebagai parti politik di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) hari ini.

Meskipun digerakkan anak muda, Parti Muda bagaimanapun dipercayai tidak meletakkan had usia pada keahlian parti.

Kesemua dokumen telah dikemukakan untuk pendaftaran di RoS pada jam 10.30 pagi tadi.

Sebelum itu, beliau berkongsi mengenai ideologi parti menerusi wawancara The Breakfast Grille bersama stesen radio BFM 89.9.

“Sejurus selepas wawancara ini, saya akan terus ke RoS untuk mendaftar Muda sebagai parti politik.



“Parti politik Malaysia pertama yang digerakkan anak muda, berbilang agama dan kaum yang memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia - tua dan muda, Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan,” jelas Syed Saddiq.

Beliau juga berhasrat membina sokongan akar umbi dalam kalangan rakyat Malaysia yang tidak berpihak kepada mana-mana parti sedia ada.

“Saya ingin menyasarkan ‘middle Malaysia’ kerana kebanyakan rakyat Malaysia masih tidak berdaftar dengan mana-mana parti dan tidak berminat untuk berdaftar.

“Golongan ini yang betul-betul merasakan keperluan untuk perubahan dan keinginan untuk mencabar struktur sedia ada.

"Ini golongan yang memberi impak kepada politik Malaysia,” ujar beliau.

Dalam masa yang sama, Syed Saddiq belum beri bayangan akan membentuk sebarang pakatan bersama parti lain menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Sekiranya kami ditakdirkan kalah pada PRU15 kerana tidak berpihak dengan UMNO dan PAS, biarkan kami kalah.

“Sebaik-baiknya kami kalah akibat kuasa mengundi rakyat,” tegas bekas Menteri Belia dan Sukan itu.