Spekulasi Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyertai parti Gerakan timbul sekali lagi.

Terbaharu, Presiden Gerakan, Dominic Lau berkata parti tersebut akan membincangkan kemungkinan bagi Mohamed Azmin dan kemnya untuk menyertai parti berkenaan.

Memetik laporan Malaysiakini, perbincangan tersebut akan diadakan tatkala berlangsungnya mesyuarat jawatankuasa pusat Gerakan di ibu negara pada pukul 4 petang Isnin.

Kata Lau, perkara tersebut merupakan antara agenda dalam mesyuarat itu.

Bagaimanapun, perkara utama yang akan dibincangkan ialah situasi politik, kedudukan Gerakan, strategi dan tindak balas serta peranan Gerakan apabila terdapat perubahan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas sama ada Menteri Hal Ehwal Ekonomi dan pengikutnya ada memohon untuk menyertai Gerakan atau tidak.

Kehadiran Azmin ke mesyuarat tersebut juga tidak jelas.

BACA: Apa maksud 5 mesyuarat politik diadakan serentak pada Ahad?

BACA: "Kita dikejutkan dengan pengkhianatan" - Anwar ulas perkembangan terbaharu politik

Sebelum ini, ura-ura yang mengatakan bahawa Ahli Parlimen Gombak tersebut akan menyertai parti Gerakan bertiup kencang susulan pergeseran dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan tersebar video aksi intim yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin.

Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Parti Gerakan mengumumkan keluar dari Barisan Nasional (BN) dan sehingga kini belum menyertai mana-mana gabungan.