Pemilihan calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara sudah diperhalusi dan dijalankan secara teliti dengan mengambilkira sokongan pengundi di semua peringkat.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Idris Jusoh berkata Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memilih calon terbaik untuk hadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Justeru, Idris Yakin protes daripada segelintir penyokong parti yang tidak berpuas hati terhadap pemilihan calon akan dapat ditangani dengan sebaik mungkin.

“Memang kita jangka protes akan diadakan dan ini satu perkara biasa yang berlaku dari dulu lagi, bukan hanya di Terengganu,” katanya selepas merasmikan Kolej Komuniti Cawangan Dungun di Bandar Al Muktafi Billah Shah, Dungun pada Selasa.

Menurut Idris, isu seumpama itu tidak akan menjejaskan persediaan parti untuk merealisasikan kemenangan cemerlang pada PRU kali ini

Idris berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan Presiden Parti dan beliau bersyukur apabila keadaan semakin reda di peringkat akar umbi.

Mengenai pemilihan calon BN Terengganu, beliau yakin gandingan mantap yang dipipilh pucuk pimpinan akan memberikan kemenangan besar kepada BN di negeri itu.