Ahli Jawatankuasa Parti Amanah Negara (Amanah), Faiz Fadzil mempersoalkan sikap Pas berhubung kempen "Buy Muslim First" (BMF) yang pernah dijuarai sebelum ini.

Faiz berkata, sikap membisu Pas dalam kempen itu selepas membentuk kerajaan membuktikan bahawa parti itu hanya mempolitikkan kempen tersebut.

Beliau mengakui kempen BMF itu jika tidak dipolitikkan, sebenarnya bertujuan baik untuk meningkatkan ekonomi orang Melayu dan mempromosikan produk berkonsepkan Islam.

"Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai PAS seharusnya sudah mampu membentangkan BMF sebagai dasar ekonomi negara, tetapi sekarang ia dilihat tidak lagi diendahkan oleh PN dan PAS.

"Malah, dalam ucapan Perdana Menteri pada 5 Jun 2020, nampaknya kempen BMF sudah diketepikan dan digantikan dengan kempen “Buy Malaysia” yang serupa dengan kempen “Beli Barangan Buatan Malaysia” yang digerakkan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengembangkan ekonomi negara dan meningkatkan pendapatan rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir itu juga mempersoalkan kenapa agenda BMF tidak diteruskan dalam tiga Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) yang diumumkan.

"Jika diteliti ketiga-tiga PRE yang diumumkan oleh PN, tidak ada sebarang peruntukan atau geran khusus untuk membantu industri halal Malaysia mengukuhkan operasi yang terjejas akibat wabak Covid-19.

"Bukan itu sahaja, kempen “Buy Malaysia” juga tidak mempunyai inisiatif khas untuk perniagaan Melayu-Islam. Misalnya, jika PAS dan PN benar-benar prihatin dengan kempen BMF, sepatutnya dilaksanakan langkah-langkah seperti penandaan produk BMF, mengarahkan pasar raya menyediakan sebahagian peratusan “shelf space” untuk barangan BMF dan mewajibkan produk BMF dipromosi di platform e-dagang," katanya lagi.

Mengukuhkan hujahnya, Faiz menjelaska ketika Pakatan Harapan mentadbir negara, satu program strategik “be-Halal” diwujudkan bagi memacu perkembangan industri halal Malaysia.

Katanya menerusi program yang diperkenalkan itu, perniagaan halal tempatan dilatih oleh pakar dan dibangunkan untuk berdaya saing di luar negara.

"PH turut memberi tumpuan dalam meningkatkan penyertaan Bumiputera Islam dalam pensijilan halal di Malaysia, yang ketika ini 60% pemegang sijil halal adalah syarikat korporat antarabangsa (MNC) dan peniaga bukan Islam," katanya.

Memandangkan impak pandemik COVID-19 menjejaskan perniagaan termasuk yang diusahakan oleh orang Melayu, Faiz mendesak Pas dan kerajaan PN agar tampil dengan penyelesaian yang bersesuaian dengan kempen BMF yang diusahakan sebelum ini.