Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka merombak sekurang-kurangnya tiga portfolio beserta Menteri dalam Kabinet sedia ada.

Antara portfolio yang menjadi tumpuan termasuk Perpaduan Negara dan Integrasi National yang dipegang Senator P. Waytha Moorthy, Pembangunan Luar Bandar yang dipegang Datuk Seri Rina Harun dan juga Pendidikan yang kini dipegang Dr Maszlee Malik.

"Portfolio Pendidikan akan dipecahkan semula kepada Pendidikan Tinggi dan Pendidikan memandangkan bidang ini memerlukan perhatian yang khusus," kata sumber.

Selain itu, turut menjadi tumpuan adalah kemungkinan Datuk Seri Mustapha Mohamed kembali ke Kabinet sebagai Menteri.

"Jika lihat kepada kewibawaan TokPa (nama panggilan Mustapha), kemungkinan besar beliau akan diberikan portfolio berkaitan ekonomi berdasarkan pengalamannya sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

"Namun, memandangkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kini Datuk Darrell Leiking menampilkan prestasi yang baik, Tok Pa mungkin ke portfolio lain, mungkin Hal Ehwal Ekonomi," kata sumber kepada Astro Awani di sini hari ini.

Jika ini berlaku, nasib Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjadi tanda tanya memandangkan beliau terpalit dengan skandal rakaman video yang masih dalam siasatan polis.

"Saya tidak rasa Azmin akan digugurkan. Jika Tok Pa masuk, mungkin Azmin akan ke Portfolio lain, Pendidikan atau Kementerian Dalam Negeri," katanya.

Apabila ditanya tentang garis masa rombakan bakal dibuat, tiada satu masa yang tetap dapat diberikan.

"Selepas Hari Kebangsaan atau mungkin selepas Hari Malaysia," katanya.

Hari Malaysia akan disambut pada 16 September ini.