Beliau mengenali Parti Islam Se Malaysia atau Pas sewaktu menjadi mahasiswa Universiti Malaya (UM) pada tahun 1980-an dengan sentiasa mengikuti ceramah Allahyarham Tan Sri Mohamed Asri Muda.

Ketika itu, Allahyarham Mohamed Asri merupakan presiden Pas dan tokoh yang sangat dihormati.

Bertitik tolak mengikuti ceramah, beliau mula mengikuti perkembangan Pas dan selepas Mohamed Asri meletakan jawatan dari Pas beliau beralih arah dengan menadah telinga kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu nerupakan naib presiden parti Islam itu.

Abdul Hadi yang bertanggungjawab mentarbiah, mendidik dan mendoktrinkan pemikiran individu pemilik nama Husam Musa menjadi ahli Pas ortodok dan Abdul Hadi juga insan bertanggungjawab mengasuh Husam di awal penyertaannya ke dalam Pas.

Ketika itu Abdul Hadi belum lagi di panggil Tuan Guru, hanya mesra disapa dengan gelaran ustaz yang kadang kala memakai songkok seperti Orang Umno.

Demi Pas dan Abdul Hadi, beliau menjadi penjual kaset ceramah Abdul Hadi untuk memperolehi wang perbelanjaannya di UM dan juga untuk perbelanjaan parti.

“Semasa itu Haji Hadi popular dengan kaset ceramahnya. Kaset-kaset diterbitkan melalui ucapannya di seluruh negara, saya antaranya menjadi penjual dan pengedar kaset ceramah Haji Hadi.

"Saya tertarik dengan Haji Hadi masa itu kerana berseuaian dengan pemikiran anak muda di zaman tersebut," katanya kepada Astro AWANI.

Husam menjelaskan, pada tahun 1982, kali pertama beliau menyertai Muktamar Pas sebagai perwakilan Pas dari Wilayah Persekutuan dan pada tahun tersebut juga slogan kepimpinan ulamak menjadi perjuangan Pemuda Pas.

Usaha mengetengahkan idea kepimpinan ulamak itu mendapat tentangan namun kerana desakan dari pemuda Pas, ia berjaya juga diketengahkan.

“Berlaku pergolakkan dalam Pas pada tahun 1982, yang mana anak muda dalam Pas membawa slogan kepimpinan ulamak iaitu seratus peratus idea dari revolusi Iran dan seratus peratus dari corak pemikiran Bekas Presiden Iran, Ayatollah Komeni.

"Anak muda tertarik dengan perjuangan Ayatollah Komeni dan memikirkan bagaimana beliau membawa perubahan di Iran, dia ulamak yang diikuti dan anak muda dipengaruhi dengan revolusi Iran," katanya lagi.

Selepas tamat pengajian beliau tidak bekerja seperti adik beradik yang lain sebaliknya memilih untuk bekerja dengan Pas sepenuh masa dan beliau ditugaskan di Kelantan.

Suatu hari beliau mendengar satu kuliah subuh yang disampaikan oleh Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Nilam Puri.

"Selepas mendengar kuliah dari Nik Aziz yang ketika dipanggil Ustaz Nik Aziz, saya menyedari bahawa Pas masih mempunyai tokoh yang berfikiran terbuka dan matang berhujah," cerita beliau.

Selepas diberikan jawatan selaku Setiausaha Jawatankuasa Post Mortem oleh Khaidir Khatib seorang pimpinan Pas yang disegani di Kelantan selepas Pas kalah pada pilihanraya Umum 1986, beliau berpeluang mendekati Nik Aziz secara lebih dekat dan Nik Aziz boleh menerima pandangannya walapun masih di usia muda.

Apabila Pas berjaya merampas Kelantan pada tahun 1990, beliau ditarik oleh Nik Aziz dalam kerajaan dan menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kelantan.

Perkara pertama yang dilakukan sewaktu menjawat jawatan tersebut adalah meminta supaya Nik Aziz tidak menamatkan kakitangan kerajaan negeri yang bertugas di Wisma Darul Naim kerana pertukaran kerajaan dari BN ke Pas.

"Alhamdulillah, seingat saya Allahyarham tidak memecat staff (kakitangan) di Kota Darul Naim walapun mereka pernah bertugas dibawah Menteri Besar terdahulu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Yaakob.

"Malah ada antara mereka kekal di Kota Darul Naim sehingga Tok Guru melepaskan jawatan menteri besar," katanya lagi.

Anak sulung dari 11 adik beradik ini menceritakan sejarah perjalanannya dalam Pas namun kini sudah 3 tahun tidak bersama parti itu.

Selepas dipecat dari Pas, Husam disisih oleh rakannya dalam parti itu termasuk pimpinan dan exco kerajaan negeri.

Bahkan dakwa Husam, kakitangan dalam kerajaan negeri yang sebelum ini berkawan dengannya tidak lagi berani bertemu mata dengannya kerana dibimbangi akan dikenakan tindakan atau ditukarkan ke bahagian lain.

Pernah berlaku satu kejadian di mana seorang kakitangan kerajaan negeri yang secara kebetulan berada bersama beliau dalam sebuah pesawat balik ke Kelantan, beliau berbual sehingga tiba di Kelantan.

Namun yang mengejutkannya, beliau dikhabarkan kakitangan berkenaan dikenakan tindakan disebabkan berjumpa dengannya.

"Saya ini umpama jembalang tanah bagi Pas Kelantan yang perlu dihapuskan dengan jampi serapah.

"Bagi Pas Kelantan, saya ini umpama manusia jahat," katanya.

Sepanjang tidak bersama dengan Pas, rakan-rakannya dalam Pas tidak langsung menghubunginya atau bertanya khabar.

Apakah dosanya terlaku besar sehingga dihukum sedemikian, persahabatan terjalin selama ini dibubarkan apabila beliau membawa panji Parti Amanah Negara (Amanah).

Ketika ditanya apakah perkara yang amat mengguris hatinya selepas tidak bersama dengan Pas, Husam menjelaskan, penghinaan melibatkan baiah talak tiga mengguriskan hati dan keluarganya kerana rakan-rakannya dalam Pas membuat tohmahan dan cacian mengenai kehidupan peribadinya tanpa mengira perasaan anak dan isterinya.