Ahli Parlimen Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid menafikan sekeras-kerasnya beliau terlibat atau menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, laporan sebuah portal berita dalam talian itu adalah tidak benar.

"Saya, Mahdzir Khalid, menafikan sekeras-kerasnya bahawa saya pernah atau terlibat menyokong gerakan penubuhan kerajaan baharu yang diketuai oleh Ahli Parlimen Port Dickson, seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal berita dalam talian," katanya dalam satu kenyataan ringkas di sini pada Khamis.

Terdahulu, laporan sebuah portal berita itu menyenaraikan Mahdzir antara 19 Ahli Parlimen UMNO yang menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri ke-9.

Antara lain termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar.

BACA: Anwar dakwa ada majoriti kukuh

BACA: Kerajaan dibentuk kelak adalah rencana saya untuk kembalikan mandat rakyat - Anwar

BACA: UMNO, BN tidak dapat halang Ahli Parlimennya mahu sokong Anwar - Ahmad Zahid


Ahmad Zahid pada Rabu berkata, UMNO dan BN tidak dapat menghalang Ahli-Ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Anwar yang berhasrat untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.