Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan, gesaan beliau agar pemimpin parti itu melepaskan jawatan dalam kerajaan merupakan pandangan akar umbi.

Tengku Razaleigh menjelaskan, akar umbi UMNO melihat menteri yang dilantik daripada parti itu tidak diberi muka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Apa guna duduk situ. Itu pandangan orang bawah yang saya sampaikan dan ada orang tiada jawatan dalam parti pun ada kedudukan tinggi.

"Orang kita yang ada pegang jawatan sebagai Naib Presiden dalam parti pun tiada ada kedudukan (dalam Kabinet), seolah-olah begitulah," katanya seperti dilapor BH Online.

Tengku Razaleigh juga menegaskan, beliau akan terus memberi pandangan dan nasihat kepada UMNO selagi menjawat jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat parti.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, beliau akan hanya berhenti memberi nasihat sekiranya tidak diperlukan lagi.

"Saya kena jawab sebab dilantik sebagai penasihat, kecuali kalau tak nak bagi saya jadi penasihat lagi, saya boleh berhenti nasihatlah.

"Saya tak kritik, saya ulang saya tak kritik sesiapa. Saya tak campur urusan parti lain, (sebaliknya) saya hanya bagi pandangan ahli UMNO yang menemui saya," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perjumpaan dengan ketua dan wakil peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR bagi membincangkan tuntutan ladang sawit selepas tanam semula di Bukit Chekati di Gua Musang, pada Selasa.

Jumaat lepas, Tengku Razaleigh membuat kenyataan meminta pemimpin UMNO dalam Kabinet kerajaan PN segera berundur daripada jawatan masing-masing.