Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bersedia diambil tindakan susulan penularan gambar yang mendakwa beliau menyalah guna kenderaan rasmi kerajaan untuk ke pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batu Pahat, Johor baru-baru ini.

"Saya tiada masalah, lagipun saya sudah biasa mendapat surat amaran...saya berkata bahawa prinsip dalam politik kita tidak boleh menyalahgunakan aset kerajaan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Shamsul Iskandar berkata terserah kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) untuk mengambil tindakan, namun beliau menjelaskan bukan disengajakan.

Mengulas lanjut, Timbalan Menteri Industri Utama itu berkata ketika kejadian, beliau baharu sahaja pulang daripada tugasan rasmi dan dijemput oleh pemandu di lapangan terbang.

"Agak sukar untuk saya pulang ke rumah untuk tukar kereta lain jadi saya terus pergi ke tempat pemilihan PKR dari lapangan terbang," katanya.

-- BERNAMA