Enam puluh tahun negeri ini ditadbir sebuah kerajaan yang bermula sebagai Perikatan, sehingga menjadi Barisan Nasional (BN), hari ini sekali lagi, sambungan kontrak kepercayaan kepada parti itu akan disemak semula dan ditentukan oleh 494,662 pemilih dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).
Enam kerusi Parlimen dan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan selepas lima tahun BN menduduki empat kerusi Parlimen dan 21 kerusi DUN di Melaka.
Manakala pencabar terdekatnya, DAP, memiliki satu Parlimen dan enam DUN, sementara satu Parlimen dimiliki PKR dan satu DUN dipegang Pas.
Pertarungan sengit kali ini dijangka melibatkan kerusi P.137 Hang Tuah Jaya iaitu nama baharu daripada Parlimen Bukit Katil, yang bakal menyaksikan ‘repeat match’ antara penyandangnya, Syamsul Iskandar Akin dari PKR dan bekas menteri besar, Tan Sri Mohd Ali Rustam yang tewas mengejut pada PRU lepas.
Dengan kerja keras sejak hari pertama kekalahan itu, sehingga hari terakhir kempen semalam, dijangka Pengerusi UMNO Bukit Katil itu mampu merampas semula kawasan Parlimen itu.
Biarpun sosok Syamsul Iskandar tidak semesra dan sedekat Mohd Ali kepada rakyatnya, jangkaan itu tidak boleh disimpul begitu mudah kerana rata-rata rakyat turut terpengaruh dengan dakyah isu nasional seperti GST dan tuduhan korupsi kepimpinan tertinggi negara yang dicanang pembangkang.
Turut dijangka, kerusi yang menjadi tumpuan hangat adalah N.13 DUN Paya Rumput, yang menyaksikan pertemuan buku dengan ruas antara dua sahabat.
Datuk Dr Abu Bakar Md Diah, penyandang kerusi Parlimen Tangga Batu, ditugaskan pimpinan tertinggi BN menyekat pengaruh bekas exco Pemuda UMNO Malaysia yang kini bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Rafiq Naizamohideen.
Abu Bakar atau ‘Prof’, yang cukup disayangi rakyat Tangga Batu, menyifatkan tugasnya ‘lebih mudah’ apabila diturunkan ke Paya Rumput.
Tetapi, gelombang perubahan pemikiran dibawa Rafiq bermula dengan membawa Tun Dr Mahathir Mohamad ke DUN itu, yang menyebabkannya digantung jawatan enam tahun dan akhirnya keluar UMNO untuk menyertai PPBM, memberi kesan kepada kepercayaan pengundi terhadap BN yang mentadbir Paya Rumput sejak sekian lama.
Turut hangat diperkatakan, kebarangkalian Abu Bakar berpotensi menggantikan Idris selaku Menteri Besar, memandangkan pengaruh kuat bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Alam Sekitar itu di DUN Paya Rumput, dengan syarat undi majoriti diperolehnya melebihi Idris.
Bagaimanapun, Pas tidak mahu terlepas daripada ‘kemeriahan’ perebutan itu apabila turut meletakkan calonnya untuk bertanding di Hang Tuah Jaya dan Paya Rumput, sejarah kali pertama kedua-dua Parlimen dan DUN itu menyaksikan perebutan tiga penjuru.
Dr Md Khalid Kassim yang pada PRU13 merampas kekuasaan BN di kerusi DUN Bukit Baru (nama sekarang Bukit Katil) yang dipegang Mohd Ali selama tiga penggal, ingin bersemuka dengan veteran UMNO Melaka itu di pentas Parlimen.
Sementara anak jati Paya Rumput dan seorang jurutera, Rafie Ahmad, membawa panji perjuangan Pas untuk menawan hati penduduk kawasan itu yang majoritinya (56.29 peratus) adalah Melayu.
Pas berhasrat menjadi ‘kingmaker’ atau penentu kerajaan Melaka, sepertimana dikatakan Pesuruhjaya Negerinya, yang juga calon DUN Duyung, Kamaruddin Sedik.
Mereka bertanding di lima Parlimen dan 23 DUN, dan hanya memerlukan sekurang-kurangnya dua kerusi untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya BN dan Pakatan Harapan masing-masing memenangi 13 kerusi DUN.
Ketika Mohd Ali acap kali mengingatkan para pengundi Hang Tuah Jaya tentang apa yang telah mereka rugi dan rindu sepanjang lima tahun lalu selepas lebih mempercayai PKR, secara amnya calon-calon BN lain menekankan hal sama: jangan percaya tohmahan pembangkang, ingat segala kesenangan dikecapi hari ini dan BN sahaja berkeupayaan meneruskannya.
Tidak kurang juga di pihak pembangkang yang terus menerus membangkitkan rasa muak rakyat kepada ‘overstay’ BN di tampuk pemerintahan, dan mempengaruhi rakyat untuk menjatuhkan kerajaan yang didakwa ditadbir secara kleptokrasi dengan melakukan perubahan.
Pegangan BN terhadap Parlimen Tangga Batu juga goyah, apabila tiga daripada empat DUN dikuasai total BN, iaitu Pantai Kundur, Paya Rumput dan Kelebang, dimenangi dengan majoriti kurang 4,000 undi pada PRU lepas, kecuali di Sungai Udang, tempat tradisi parti itu yang disandang Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron dengan majoriti 9,136 undi.
PRU13 mencatatkan kemerosotan prestasi BN Melaka berbanding PRU12 apabila hilang dua kerusi DUN, menjadikan penguasaan pembangkang bertambah kepada tujuh DUN.
Jadi kali ini, mampukah BN terus berdiri untuk mempertahankan bumi Hang Tuah daripada jatuh ke tangan pembangkang, atau terpaksa berkongsi takhta bersama Pas dan Pakatan Harapan, atau rebah sama sekali buat kali pertama dalam sejarahnya?
Rakyat menentukan.
Israr Khalid
Tue May 08 2018
Warga Kampung Baru Bukit Katil (dari kiri) Roslan Baba, Fakir Mohamad Karim dan Harun Dralim membaca Manifesto BN ketika kempen PRU14 di Kampung Baru Bukit Katil, Melaka. --fotoBERNAMA
Apple dilapor kurangkan pengeluaran Vision Pro susulan permintaan rendah
Walaupun jualan pada awalnya amat memberangsangkan, momentum tidak berterusan kerana unit awal hanya dibeli oleh peminat paling tegar Apple.
Nahas dua kenderaan punca insiden kecoh semasa pengebumian pegawai TLDM - Polis
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada jam 7.45 malam selepas pemandu kereta terlanggar sebuah motosikal berhampiran dengan masjid.
KL20: MYStartup platform boosts Malaysia’s startup ecosystem
KL20: Shariah-compliant startup revolution
Ringgit dibuka rendah berikutan dolar kekal tinggi menjelang data KDNK AS
Pada 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7825/7870 berbanding dolar AS daripada 4.7765/7780 ketika ditutup pada Rabu.
Isu penceramah pro-Zionis: 'Keluar! Anda tidak dialukan di negara ini!' - Rakyat Malaysia
Pada Rabu, Universiti Malaya (UM) mendapat kecaman kerana membenarkan Gilley menyebarkan propaganda Zionis dalam ceramahnya di universiti.
AWANI Ringkas: Mangsa nahas helikopter dikebumi hari ini
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
Terengganu mampu tanggung 50 peratus hutang PTPTN rakyat
Perkara itu boleh dilaksanakan sebagaimana dilakukan kerajaan Sarawak bagi memberi suntikan dan galakan kepada golongan pelajar.
Buruh ladang warga Indonesia maut dipanah petir
Mangsa dikenali sebagai Kamarudin,40, berasal dari Montong Berore, Mataram, Lombok disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
OpenAcademy: How microlearning transforms Malaysia's work landscape?
OpenAcademy, a Malaysian ed-tech startup, directly addresses the critical need for workforce upskilling in Malaysia. Their user-friendly mobile platform delivers microlearning modules focused on practical, industry-relevant digital skills. This empowers Malaysians at all career stages to enhance their skill sets and remain competitive in the evolving digital landscape.
Satu lagi sejarah besar bakal terukir di bumi Melaka?
494,662 pemilih bakal menentukan, sama ada menyambung cerita atau mengukir sejarah baharu di bumi Hang Tuah.