Ahli Parlimen Serian Datuk Seri Richard Riot Jaem masih ahli Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP).

Perkara itu disahkan Ketua Pemuda SUPP Micheal Tiang Ming Tee ketika dihubungi Astro AWANI bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu tersebut.

Katanya ia merupakan maklumat palsu yang disiarkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) demi kepentingan politik.

"Saya agak terkejut sebaik sahaja mendapat tahu tentang berita tersebut pada hari ini (Sabtu).

"Malah Datuk Seri Richard Riot ada berhubung dengan pemimpin SUPP menerusi WhatsApp kumpulan bagi menjelaskan perkara itu.

"Kata beliau (Richard Riot) mengatakan saya menyertai PKR adalah tidak betul," katanya.

BACA: Richard Riot sertai PKR

Mengulas lanjut, kata Micheal Tiang sebelum ini Riot pernah dihubungi oleh seorang ahli parlimen PKR bagi mendapatkan sokongan untuk Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Baharu.

"Pada 9 Februari lalu Richard dapat panggilan daripada YB Micheal Teo dari PKR bertanyakan adakah beliau mahu menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri, malah panggilan itu turut diserahkan kepada Anwar Ibrahim bagi mendapatkan pengesahan sokongan.

"Riot sememangnya ada berkomunikasi dengan Anwar Ibrahim namun tidak pernah menyertai PKR," jelas Michael.

Tindakan itu tegasnya telah mencemarkan nama baik Riot yang sebagai Timbalan Presiden SUPP.

Malah turut mencalarkan nama maruah SUPP sendiri.