Pengundi di Parlimen Permatang Pauh diseru supaya membuat 'u -turn' dan kembali menyokong Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sudah tiba masanya rakyat di Permatang Pauh membuka lembaran baharu selepas wakil rakyat pembangkang gagal membawa perubahan di Parlimen itu sejak 16 tahun lalu.

Katanya, perubahan perlu dalam memastikan rakyat di kawasan itu tidak terus ketinggalan dan seterusnya menikmati kemajuan yang dibawa.

“Kena buat u-turn di sini sebab sudah sampai masa kita buka lembaran baru di Permatang Pauh; kita buka buku baharu untuk Permatang Pauh.

"Kalau projek MRT kita boleh siapkan lebih cepat dari jadual, tiada masalahlah dengan Permatang Pauh ini," kata Datuk Seri Najib pada Majlis Kenduri Rakyat bersama warga Permatang Pauh di Politeknik Seberang Perai pada Khamis.

Datuk Seri Najib berkata perubahan yang ingin dibawa melalui semangat "Reformasi" dahulu telah 'mati' dengan pelantikan pemimpin itu sebagai pengerusi gabungan pembangkang.

"'Reformasi' sudah tidak wujud sebab ia ditubuhkan untuk menentang seorang yang dianggap diktator, yang disebut 'Mahafiraun', digelar 'Mahazalim'. Tapi orang itu sudah didakap pula, dah jadi pengerusi. Jadi mana lagi semangat 'Reformasi'. Bila sudah tidak ada 'Reformasi', kita tutup buku lama, kita buka buku baharu.

"Kita tak usahlah main sandiwara politik, kita dah celik, dah sedar. Sudah sampai untuk kita jaga kepentingan, lembaran baharu untuk Permatang Pauh," kata Datuk Seri Najib.

Datuk Seri Najib menegaskan kepimpinan BN telah berjaya membawa pelbagai perubahan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dan Permatang Pauh tidak seharusnya ketinggalan.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM45 juta bagi pembinaan sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) di Permatang Pauh.