Calon Timbalan Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini diumum sebagai Ketua Cabang PKR Pandan yang baharu selepas menewaskan tiga pencabarnya pada pemilihan parti di Selangor.

Mohd Rafizi yang juga bekas Ketua Cabang Kemaman memperoleh 566 undi, manakala tiga pencabarnya Haniza Mohd Talha memperoleh 405 undi, Nor Hayati Haron, 353 undi dan Mohamad Shauki Mohd Hashim, 71 undi.

Beliau berkata kekalahannya kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan Timbalan Presiden PKR di cabang Pandan tidak menggambarkan pengaruh dan kekuatan pengaruh beliau di cabang berkenaan.

Pada pemilihan cabang Pandan, Mohd Rafizi memperoleh 508 undi berbanding Mohamed Azmin 715 undi.

Mohd Rafizi mendakwa perkara itu berlaku kerana pengundi dari cabang Ampang yang merupakan penyokong Mohamed Azmin telah dipindahkan ke cabang berkenaan.

"Ya, ini kubu kuat saya. Tetapi saya tidak hairan kerana ia (pemindahan anggota) dibenarkan oleh parti, saya akur dengan keputusan ini. Kira-kira 1,000 pengundi dari Ampang telah dipindahkan di sini," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan tidak rasmi pemilihan PKR cabang Pandan di Dewan MPAJ, Taman Chempaka petang ini.

Sementara itu, Mohd Rafizi juga meragui keputusan undian apabila bilangan anggota yang keluar mengundi berdasarkan QR Code yang dikeluarkan tidak menyamai bilangan undian.

"QR Code yang dikeluarkan kira-kira 1,200. Perkara ini perlu saya periksa dengan JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti), sama ada terdapat undi yang hilang seperti sebelum ini (Melaka dan Negeri Sembilan)," katanya.

-- BERNAMA