PUNK sinonim dengan ideologi anarki dan juga golongan anak muda yang tidak percaya kepada perubahan menerusi peti undi ataupun demokrasi, namun sekarang sudah berbeza.

Apabila saya mendapat berita bahawa seorang 'skinhead', Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di bawah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), teringat saya mengenai cerita penyanyi kumpulan punk Amerika Syarikat, Dead Kennedys, Jello Biafra.

Biafra, seorang yang lantang dalam karya-karyanya, sama ada dalam bentuk lirik lagu, seni persembahan ‘spoken words’ ataupun kempen mempersendakan ahli politik di San Francisco, pernah bersaing untuk merebut jawatan Datuk Bandar San Francisco pada 1979.

Daripada sepuluh calon yang bertanding, Biafra mendapat tempat ketiga dengan 3.79% undian (6,591 undi) yang turut memberi kelebihan kepada calon pilihan Dianne Feinstein untuk muncul pemenang, apabila berlakunya pecahan undi dalam persaingan dengan seorang lagi calon pilihan, Quentin Kopp.

Bermula sebagai seorang anarkis, Biafra terus aktif dalam politik selain pernah mencalonkan diri sebagai calon presiden Amerika untuk Green Party pada tahun 2000 dan aktif dalam kempen pilihanraya presiden Ralph Nader pada 2004 dan 2008.

Jello Biafra dalam salah satu temubual televisyen mengenai kempen pemilihan Datuk Bandar San Francisco. - Foto tawan skrin Youtube/Target Video77

Itu belum lagi cerita mengenai kempen Punk Voter dan Rock Against Bush yang dilancarkan golongan punk di Amerika untuk memastikan George Bush tewas dalam pemilihan presiden.

Bila ia bermula di Malaysia?

Sejak bila golongan 'punk' di negara ini mula percaya peti undi boleh membawa perubahan rakyat di Malaysia?

Saya masih ingat kali pertama saya melihat seorang 'punk' yang berpengaruh di Malaysia, Joe Kidd yang menunjukkan sokongannya terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 dengan menyertai kempen Reformasi, selepas beliau dipecat daripada kerajaan.

Saya berpeluang untuk menemubual pemain gitar dan penyanyi bagi kumpulan punk, Carburetor Dung itu untuk sebuah majalah peminat yang saya terbitkan sendiri pada 1999 untuk bertanya, kenapa dia pilih untuk menyokong Anwar?

Jawapan beliau dalam surat yang dikembalikan kepada saya tidak lama dahulu adalah, beliau bukan peminat Anwar atau menyokong Anwar, tetapi perjuangan yang dibawa oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Dari situ, saya mula lihat ramai punk menyuarakan pandangan mengenai politik dan golongan punk di Malaysia mula sedar bahawa mereka mempunyai kuasa dan pengaruh untuk membawa perubahan, bukan sekadar melalak kosong atau kata orang Barat, ‘Rebel Without A Cause’.

Bagi pensyarah Universiti Lim Kok Wing, Ahmad Nizam Abdullah, dia sendiri tidak pasti bila golongan punk di Malaysia mula sedar kepentingan pergi mengundi dan setiap undi mewakili suara rakyat.

“Seperti 'punk rockers' lain, rasanya kami ada fahaman bahawa peti undi tidak akan membawa apa-apa perubahan untuk pentadbiran kerajaan Malaysia dan semua parti politik sama saja.

“Hanya selepas kahwin dan ada anak, saya rasa mahu atau tidak, kena pergi mengundi dan undi boleh bawa perubahan.” jelas Ahmad Nizam.

Ahmad Nizam masih bergiat aktif dalam perjuangan punk dalam sosial dan politik. - Foto Facebook/Nizang

Masih aktif dalam perjuangan punk di Malaysia, Ahmad Nizam merupakan ahli kumpulan punk, Dum Dum Tak, yang membawakan lirik sosio-politik.

Dum Dum Tak baru sahaja mengeluarkan diskografi kumpulan itu dalam bentuk kaset bertajuk ‘Sedekad’.

Ahmad Nizam yang akan mengundi buat kali pertama tahun ini, menjelaskan beliau bukan fanatik mana-mana parti namun pernah membantu kempen Rodziah Ismail dari PKR, untuk DUN Batu Tiga, Shah Alam pada 2013.



Dalam PRU13 itu, Rodziah mengalahkan calon Barisan Nasional, Ahmad Nawawi M Zin dengan majoriti 3,805 undi.

Namun bukan semua punk adalah anti-kerajaan ataupun menentang kerajaan semata-mata.

Sebagai contoh, pengasas Drug Free Youth Malaysia (DFYA), Khairuddin Aziz yang terkenal sebagai aktivis anti-dadah di Malaysia merupakan salah seorang yang memperjuangkan budaya 'punk hardcore' di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau bekerjasama rapat dengan badan kerajaan seperti Kementerian Belia dan Sukan dan banyak membuat program kesedaran mengenai bahaya dadah bersama Agensi Anti-Dadah Kebangsaan (AADK) dan juga IM4U.

Dalam erti kata lain, golongan punk ini sudah lebih matang dan mementingkan agenda sosial selain isu politik sekaligus menggunakan apa sahaja sumber untuk meneruskan perjuangan dan ideologi mereka.

Balik kepada pencalonan seorang 'skinhead' sebagai calon PRU14 ini, Ahmad Nizam berasa penampilan Mohd Ashraf bukan satu masalah besar kerana mereka (skinhead) sentiasa berpakaian kemas, sesuai dengan dengan imej pekerja buruh.

“Pada asasnya, budaya 'skinhead' memang perjuangkan ‘working class struggle’, anti-kapitalis dan menentang perkauman dan fasis selain hak-hak pekerja buruh, jadi ia amat rapat dengan perjuangan politik juga.” kata Ahmad Nizam.

“Parti politik boleh menetapkan gaji minima dan kebajikan pekerja terutamanya pekerja-pekerja di peringkat bawahan, banyak penindasan berlaku seperti kerja lebih masa dan bayaran tidak setimpal.

“Jadi memang bagus jika ada calon yang mempunyai kesedaran tentang hal-hal begini," tambah Ahmad Nizam.

Apa yang penting dalam manifesto perlu memperjuangkan hak-hak pekerja, membanteras sikap perkauman yang masih menebal pada sesetengah pihak di Malaysia, termasuklah parti politik berasaskan fasis bangsa dan agama.

Ahmad Nizam juga percaya, orang muda mampu membawa perubahan ke arah positif, namun beliau tidak pasti sama ada beliau mempunyai pengalaman yang cukup untuk dijadikan ukuran dipilih sebagai seorang ahli parlimen.

Mohd Ashraf akan bertanding pada PRU 14 di bawah PPBM untuk Parlimen P84 Paya Besar. - Foto Adilla Azam/Astro AWANI.

Mohd Ashraf adalah Exco Pemuda PPBM bakal berentap dengan Ketua Pemuda UMNO Pahang, Mohd Shahar Abdullah, 38 tahun dan Setiausaha PAS Paya Besar, Mohamad Azhar Mohd Noor, 66 tahun bagi merebut kerusi Parlimen P84 Paya Besar.

Paya Besar merupakan kubu kuat UMNO dengan Abdul Manan Ismail mengatasi pencabar PKR, Murnie Hidayah Anuar dengan 7,715 undi pada PRU13.


2008, Abdul Manan menang dengan majoriti yang lebih besar, iaitu 8,503 undi manakala wakil BN, Datuk Seri Dr Siti Zaharah Sulaiman menang pada 2004 dengan majoriti 12,518 undi.

60% daripada pengundi Paya Besar kali ini merupakan pengundi bawah 40 tahun.

Di Amerika, penerimaan pemuzik punk dan metal sebagai ahli politik bukan perkara baru.

Menurut laporan media Vice, antara pemuzik 'punk hardcore' yang pernah berjaya dalam politik adalah Justin Brannan, 39 tahun dari kumpulan Indecision dan Most Precious Blood, yang dipilih untuk menjadi ahli majlis bandar New York.

Selain itu, vokalis kumpulan metal, Cab Ride Home, Danica Roem, 33 tahun, berjaya dipilih menjadi ahli dalam Dewan Delegasi Virginia dengan mengalahkan wakil Republican, Bob Marshall yang sudah menyandang jawatan itu selama 25 tahun.